JOHOR BAHRU: Polis Johor melakukan pemeriksaan terhadap 6,107 individu dan 5,000 kenderaan dalam operasi sempena sambutan Deepavali 2025, yang menyaksikan 26 individu berusia antara 15 hingga 46 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata sepanjang operasi itu juga sebanyak 968 saman dikeluarkan, manakala 170 kenderaan, termasuk 165 motosikal, disita atas pelbagai pelanggaran undang-undang.
Tambahnya, tindakan itu hasil pelaksanaan operasi bersepadu di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan, pematuhan undang-undang dan kesejahteraan masyarakat menjelang sambutan perayaan tersebut.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 1,238 pegawai kanan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh kontinjen Johor dengan tumpuan di kawasan perumahan, pusat beli-belah, rumah ibadat, lebuh raya utama dan pintu masuk antarabangsa termasuk Tambak Johor.
“Fokus utama ialah memastikan aliran trafik lancar dan keselamatan pengguna jalan raya terjamin sepanjang musim perayaan.
“Selain itu, operasi turut bertujuan membanteras aktiviti jenayah dan mengelak kemalangan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya dalam dalam satu kenyataan pada 20 Oktober.
Beliau juga turut meninjau pelaksanaan Op Lancar di Johor Bahru pada malam 19 Oktober.
Menurutnya, operasi turut mendapat kerjasama 75 petugas daripada pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Beliau berkata lebih 325 pegawai dan anggota trafik telah ditempatkan di kawasan panas kemalangan serta lokasi berisiko tinggi, selain rondaan berkala di lebuh raya utama bagi memastikan pergerakan trafik kekal lancar.
“Polis Johor menjangkakan peningkatan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan serta laluan utama lain. Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan, mematuhi undang-undang dan tidak memandu dalam keadaan letih atau di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Datuk Ab Rahaman menegaskan Polis Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg