KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan ia tidak pernah menyebelahi sembarang parti politik, sekali gus menafikan dakwaan bahawa “polis dicucuk hidung” berhubung siasatan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan isu 3R itu membabitkan semua peringkat dan lapisan masyarakat di negara ini.
“Tanggapan bahawa polis mengikut arahan ahli politik adalah tidak benar. Kita memandang serius dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R.
“Malah kerajaan sebelum ini juga menggesa agar isu 3R tidak disentuh kerana boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya pada satu sidang akhbar selepas merasmikan satu majlis di Maktab Polis Diraja Malaysia pada Khamis.
Tan Sri Razarudin berkata bukan ahli politik sahaja dituduh di mahkamah, malah orang awam yang menyentuh isu 3R turut disiasat.
“Kita akan mengambil tindakan tanpa rasa takut atau pilih kasih kepada sesiapa yang menyentuh isu 3R.
“Sebagai contoh, kes sebelum ini fitnah terhadap Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), suspek adalah orang awam, kita tangkap dia pada tengah malam,” katanya.
Dalam satu perkembangan berasingan, Tan Sri Razarudin mengesahkan polis menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan mengambil keterangan pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Selasa depan berhubung ‘fatwa’ politik yang dikeluarkannya.
Ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin, dikatakan mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan sebagai “haram” tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Encik Suhaizan Kayat, yang bertanding dalam PRK.
Beliau mendakwa tindakan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.
“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan. Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana.
“Namun tak boleh undi kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat), macam soal kenaikan harga barang,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas itu.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, juga di Johor, ialah pada 9 September,
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg