Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia serah dokumen kepada Interpol bagi Notis Merah menantu Muhyiddin

Oct 4, 2023 | 11:47 AM
JADI BURUAN: Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muyiddin Yassin, didakwa menghilangkan diri ke luar negara sejak Mei 2023.
JADI BURUAN: Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muyiddin Yassin, didakwa menghilangkan diri ke luar negara sejak Mei 2023. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan Notis Merah terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya menerima dokumen itu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

“Kita (polis) sudah menerima dokumen itu pada 3 petang Selasa. Ia juga telah dimajukan kepada Interpol untuk tindakan lanjut mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian Malaysia.

Pada 30 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata SPRM sedang menyediakan beberapa dokumen diperlukan.

Ia termasuk draf pertuduhan kes untuk diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin itu dan peguamnya. Permohonan Notis Merah itu perlu dibuat melalui PDRM.

Pada Ogos lalu, Tan Sri Azam dipetik berkata SPRM akan memohon Notis Merah Interpol terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin itu serta seorang lagi individu.

Ia bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

SPRM memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk Datuk Muhammad Adlan ke dalam senarai notis merah selepas gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Datuk Muhammad Adlan dan peguam, Encik Mansoor Saat, 69 tahun, disyaki terbabit kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka dikatakan melarikan diri dari Malaysia sejak Mei 2023.

Selepas menjadi buruan PDRM, Datuk Muhammad Adlan pada 9 Ogos lalu menerusi peguamnya, Datuk Baljit Singh Sidhu, menegaskan beliau meninggalkan Malaysia secara sah dan tidak pernah ditangkap atau dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Peguam itu mendedahkan Datuk Muhammad Adlan pernah dihubungi pegawai SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun 2023 dengan menyatakan keluar negara bagi urusan dan akan kembali selepas hal itu selesai.

Pada 17 Ogos 2023 pula, Encik Mansoor dilaporkan berkata beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

Katanya, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg