Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Sarawak tumpas sindiket dadah

Sep 29, 2025 | 5:38 PM
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah (tengah), melihat dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 29 September.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah (tengah), melihat dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 29 September. - Foto FACEBOOK POLIS SARAWAK

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki tempatan dalam operasi berasingan di Tebedu, Serian dan Kuching, melibatkan rampasan dadah jenis methamphetamine bernilai RM783,218 ($239,398) serta sitaan harta bernilai lebih RM448,000.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata dalam serbuan pertama pada 24 September sekitar 2.45 petang, pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian menahan seorang lelaki berusia 18 tahun di tepi jalan berhampiran Kompleks ICQS, Jalan Tebedu-Serian.

“Hasil pemeriksaan menemukan methamphetamine seberat 20,611 gram, yang dianggarkan mampu digunakan oleh lebih 103,000 penagih.

“Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 63 tahun di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Jugah, Kuching, pada 25 September.

“Tangkapan tersebut membawa kepada sitaan harta bernilai RM448,272, termasuk wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing, barang kemas, seutas jam tangan mewah Rolex, serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus RX300,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 September.

Datuk Mohamad Zainal menjelaskan bahawa sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal 2024 dengan modus operandi mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia, sebelum dibawa masuk ke Sarawak menggunakan kapal terbang.

Sindiket juga dikesan menawarkan upah sekitar RM5,000 bagi setiap penghantaran.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama bebas daripada pengaruh dadah, manakala suspek kedua positif ketamin, benzodiazepine, tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.

Siasatan turut mendapati lelaki berusia 63 tahun itu mempunyai satu rekod kesalahan lampau, manakala suspek muda tiada rekod jenayah.

Kedua-duanya kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam,” katanya.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM menegaskan komitmennya memerangi dadah demi melindungi generasi akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg