KULAI: Pemandu Volkswagen Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura didenda RM9,000 ($2,850) pada 14 Januari, kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Dia dikesan mengisi petrol bersubsidi RON95 pada 2 Januari.
Long Sa Kow, 64 tahun, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura, mengaku bersalah atas tuduhan itu di Mahkamah Majistret.
Jika gagal membayar denda, Long akan dipenjara sembilan bulan.
Berdasarkan pertuduhan, Long, pemandu Volkswagen Jetta perak bernombor pendaftaran SLJ8967M, didakwa mengubah nombor pendaftaran kenderaan itu dengan menutup sebahagian daripadanya.
Kesalahan dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, kira-kira 10.30 malam, 2 Januari.
Dia didakwa di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntuk denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya.
Peguamnya dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Cik Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli, memohon denda minimum kerana Long adalah pesara tanpa pendapatan tetap.
Dia menanggung isteri, seorang suri rumah dan tiga anak, dua daripadanya masih bersekolah.
Beliau menegaskan ini kesalahan pertama dan Long berjanji tidak akan mengulanginya.
Timbalan Pendakwa Raya, Cik S. Thiviya, pula memohon hukuman yang bersifat pencegahan dan pengajaran.
Fakta kes mendedahkan pada 4 Januari, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mengesan video Facebook yang memaparkan Volkswagen Jetta perak bernombor LJ8967 mengisi RON95 di stesen minyak.
Siasatan mendapati Long, pemandu kenderaan bernombor pendaftaran sebenar SLJ8967M, sengaja menutup huruf ‘S’ dan ‘M’ untuk mengisi minyak bersubsidi RON95.
Terdahulu, pada 3 Januari, tular video sepanjang 1 minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang individu merakam pemandu kenderaan bernombor Singapura sedang mengisi RON95.
Pemilik video mendakwa ia mungkin taktik baru warga Singapura menutup huruf awal dan akhir nombor pendaftaran agar kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal oleh perakam video, pemandu itu mendakwa mereka bukan warga Singapura, tetapi rakyat tempatan, sebelum cuba melarikan diri dengan segera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg