Proses pengundian bagi Pilihan Raya (PRN) di enam negeri di Malaysia sudah bermula sejak 8 pagi tadi.
Tinjauan Berita Harian (BH) di beberapa pusat pengundian sekitar Selangor pagi Sabtu ini mendapati pengundi telah mula memenuhi pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan negeri yang baru.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari, yang datang menaiki skuter berwarna hijau dengan ditemani isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad, menarik tumpuan pengundi di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru, Gombak, Selangor.
Menteri Besar sementara yang juga Pengerusi PH Selangor bersama isterinya selesai membuang undi kira-kira 8.40 pagi.
“Alhamdulillah cepat saya bangun pagi tadi isteri kejut. Kami datang menaiki motosikal ke pusat mengundi untuk elak kesesakan.
“Selepas ini saya akan ronda pusat pengundian lain di DUN Sungai Tua naik motosikal juga,” katanya.
Sementara itu, Datuk Amirudin mengulangi seruan agar semua pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih kepimpinan negeri yang akan mentadbir bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau turut menggalakkan pengundi untuk keluar awal bagi membuang undi berikutan cuaca tidak menentu dan dibimbangi hujan pada sebelah petang.
Datuk Amirudin berkata beliau berpuas hati melihat kesungguhan pengundi yang sudah mula keluar untuk memilih dan optimis PH dan BN mampu membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.
Penyandang kerusi DUN Sungai Tua sejak 2008 itu berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional, Mohammad Hanif Jamaluddin, dan calon Bebas, G Suman.
Selain Selangor, pengundian PRN hari ini turut berlangsung di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Lebih 9.67 juta pengundi akan memilih kepimpinan negeri bagi penggal baru untuk tempoh lima tahun sehingga pusat pengundian ditutup jam 6 petang nanti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg