JOHOR BAHRU: Sebarang pembangunan masa depan di kolam air Linggiu, salah satu daripada tujuh takungan yang diklasifikasikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) sebagai “berisiko tinggi”, mesti ditanggung oleh agensi air Singapura PUB, menurut seorang pegawai kanan air Johor.
Pengarah Badan Kawal Selia Air (Bakaj) Johor, Encik Natazha Hariss, berkata ini kerana kolam air itu masih di bawah pengurusan PUB, seperti yang ditetapkan di bawah Perjanjian Air Johor-Singapura kedua 1962.
“Air dari kolam air Linggiu, disalurkan melalui Sungai Johor di Kota Tinggi, dibekalkan ke Singapura.
“Di bawah perjanjian air, kolam air itu adalah di bawah pengurusan PUB dan oleh itu apa sahaja kos perlu ditanggung olehnya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin, lapor The Star.
Encik Natazha berkata paras air di kolam air Linggiu, yang dibina pada 1992, kini melebihi 90 peratus.
“Kolam air ini akan berada di bawah pengurusan PUB buat 38 tahun akan datang, kerana perjanjian Johor-Singapura hanya akan terhenti pada 2061,” katanya.
Menurut maklumat, Singapura berhak mengambil 250 juta gelen air mentah setiap hari dari Sungai Johor.
Sebagai balasan, Singapura bertanggungjawab untuk menyediakan air terawat kepada Johor sehingga 2 peratus daripada jumlah air yang diimport.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Encik K. Pathmanathan, berkata badan itu telah menjalankan pemeriksaan berkala di kolam air Mengkuang untuk memastikan mutu air dan tiada kecacatan struktur.
Beliau berkata paras kolam air itu berada pada tahap kira-kira 90 peratus berikutan cuaca yang sering hujan.
“Kami menguruskannya dengan baik kerana ia adalah kolam air simpanan. Pada masa ini, terdapat kerja naik taraf sedang dijalankan untuk meningkatkan kapasitinya,” katanya sambil menambah bahawa tiada masalah sedimen setakat ini.
Kolam air Mengkuang, terletak di Bukit Mertajam, merupakan kemudahan rizab kemarau yang strategik dan menyokong loji rawatan air Sungai Dua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg