Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat M’sia bekerja di S’pura sambil kerja sendiri di M’sia, layak sertai skim perlindungan sosial

Oct 30, 2025 | 12:09 PM
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Encik Tong Sing Chuang.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Encik Tong Sing Chuang. - Foto FACEBOOK PERKESO JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan pada masa menjalankan perniagaan sendiri seperti perkhidmatan e-hailing atau penghantaran makanan di Malaysia, masih boleh mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Johor, Encik Tong Sing Chuang, berkata caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) akan memastikan pencarum mendapat perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, pada masa ini belum ada skim perlindungan khusus bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, kecuali jika syarikat luar negara berkenaan beroperasi di Malaysia dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Mereka yang bekerja di Singapura tetapi dalam masa sama bekerja sendiri di Malaysia masih boleh mencarum di bawah skim Lindung Kendiri. Tiada masalah bagi mereka membuat permohonan,” katanya lapor The Star.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berkaitan skim perlindungan bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Pada 2024, Menteri Sumber Manusia, Encik Steven Sim, dilaporkan berkata kementeriannya melalui Perkeso akan menjalankan kajian mengenai skim insurans keselamatan sosial buat rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari ke Singapura.

Difahamkan, lebih 1.18 juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, dengan antara 300,000 hingga 400,000 orang menyeberangi Tambak Johor setiap hari.

Sementara itu, Encik Tong turut menggesa suri rumah untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) yang menawarkan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian semasa melakukan kerja rumah.

Katanya, perlindungan juga diberikan sekiranya mereka jatuh sakit atau hilang keupayaan kekal.

“Perlindungan ini termasuk situasi seperti terluka tangan ketika menyiapkan makanan atau terjatuh di bilik air,” jelasnya.

Beliau menyeru suri rumah yang belum berusia 55 tahun, atau belum mencapai usia 54 tahun ketika membuat caruman pertama, supaya mengambil perlindungan ini yang hanya memerlukan bayaran setahun sekali.

Terdahulu, pada 30 Oktober 2024, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Perkeso memaklumkan akan menjalankan kajian mengenai skim insurans keselamatan sosial bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, terutamanya mereka yang berulang-alik setiap hari ke negara itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg