JOHOR BAHRU – Lebih ramai nampaknya beralih kepada roti canai untuk makan tengah hari, terutama di pusat bandar di sini, kata sebuah persatuan pengusaha restoran.
Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Encik Hussein Ibrahim berkata, kedai makan 24 jam atau restoran mamak, hanya menyediakan roti canai untuk sarapan pagi kerana pengusaha mahu menumpukan pada nasi kandar atau hidangan nasi campur pada waktu makan tengah hari.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 dilaksanakan, lebih ramai pelanggan memesan roti canai untuk makan tengah hari,” katanya.
“Jadi, ahli kami menghidangkan roti canai sepanjang masa permintaan yang semakin meningkat.
“Pelanggan berkata, mereka lebih suka roti canai berbanding nasi campur, kerana ia jauh lebih murah,” tambah Encik Hussein.
Beliau berkata pelanggan akan membayar kira-kira RM5 (S$1.43) untuk dua keping roti canai kosong, berharga antara RM1.20 dan RM1.50 sekeping, dan satu minuman.
“Saya percaya permintaan roti canai yang meningkat disebabkan pelanggan mahu berjimat. Hidangan itu lebih berpatutan berbanding sepinggan nasi campur yang boleh berharga sekitar RM10 atau RM12,” katanya.
Encik Hussein menambah, ramai pelanggan akan memesan roti canai untuk makan malam juga.
Tinjauan di beberapa kedai makan 24 jam mendapati, roti canai telah menjadi pilihan yang semakin popular di kalangan orang ramai makan tengah hari sejak beberapa tahun lalu.
Seorang pengurus di salah sebuah restoran, yang hanya mahu dikenali sebagai Rafi berkata, pelanggan mereka lebih menggemari roti canai berbanding makanan lain seperti nasi kandar, kerana perbezaan harga.
“Disebabkan itu, kami telah mengurangkan kuantiti hidangan yang kami sajikan setiap hari, bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.
Pengerusi jawatankuasa kesihatan dan alam sekitar negeri, Encik Ling Tian Soon berkata kenaikan kos sara hidup, tidak seharusnya menjadi alasan untuk pengguna membuat pilihan makanan yang tidak sihat.
“Kementerian Kesihatan juga menggalakkan orang ramai, supaya mengekalkan diet seimbang,” kata Encik Ling.
“Formula ini memerlukan satu perempat daripada hidangan, untuk menjadi karbohidrat, satu perempat adalah protein atau daging, dan separuh pinggan untuk diisi dengan sayur-sayuran atau buah-buahan.”
Menurut Encik Ling, mengekalkan diet seimbang dan melakukan senaman yang kerap boleh membantu mencegah penyakit dan mengurangkan tekanan pada kemudahan penjagaan kesihatan awam, yang sudah sesak.
Beliau berkata kebanyakan pesakit adalah mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit, seperti penyakit jantung, diabetes dan strok, yang antara lain disebabkan oleh diet tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, penggunaan alkohol dan merokok. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg