MELAKA: Sejuk hati ibu dan ayah apabila anak sudi membantu menguruskan hal seharian sedang orang tuanya menghadapi cabaran.
Namun bagi seorang remaja lelaki warga Malaysia apa yang beliau lakukan baru-baru ini demi orang tersayangnya teramat istimewa hingga menarik perhatian jutaan warganet serta menerima ribuan kata-kata pujian.
Muhammad Nabil Mohd Nazrol, 17 tahun, 14 Julai lalu memuat naik satu video dalam akaun TikToknya yang menunjukkan beliau membantu menterjemahkan ceramah agama yang disampaikan baru-baru ini kepada ibu bapanya dalam bahasa isyarat – bahasa yang digunakan bagi individu yang pekak dan bisu.
Menurut Nabil, kedua-dua ibu bapanya, berusia 44 dan 45 tahun itu, tidak berupaya mendengar dan bertutur sejak lahir, dan Nabil membantu mereka menterjemahkan apa yang disampaikan seorang ustaz pada ceramah itu yang berlangsung di Stadium Hang Jebat kepada mereka pada 6 Julai lalu.
Dalam video tersebut, Nabil kelihatan menterjemahkan sebahagian bacaan azan kepada ibu dan ayahnya dalam bahasa isyarat antara lain.
Beliau juga menulis: “Saya ketika sedang membuat terjemahan bagi ibu bapa saya”.
Ketika dihubungi Berita Harian menerusi WhatsApp baru-baru ini, Nabil, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik yang berasal dari Durian Tunggal, Daerah Alor Gajah itu berkata, ia merupakan satu kebiasaan baginya sejak kecil untuk membantu ibu bapanya dalam melakukan urusan seharian jika perlu.
Dalam keluarganya, Nabil dan dua kakaknya lain dilahirkan biasa-biasa sahaja.
“Kedua-dua ibu bapa saya pekak dan bisu, dan kami diisytiharkan sebagai anak CODA, iaitu anak orang dewasa yang pekak (children of deaf adults)“.
“Tapi kami normal sahaja, dan kami semua boleh bertutur dalam Bahasa Isyarat,” jelas Nabil.
“Saya berupaya bertutur dalam Bahasa Isyarat sejak usia tiga tahun.”
Antara urusan yang kerap pelajar tahun terakhir Sekolah Menengah itu lakukan bagi ibu bapanya adalah membantu mereka menguruskan gerai cendol mereka di Kampung Air Semubuk.
“Boleh dikatakan macam orang datang ke kedai, kalau orang tak pernah datang sebelum ini saya bantu terjemahkan tempahan mereka kepada mak saya.
“Tapi mak saya pun ada tulis dekat kertas ataupun keyboard,” kata Nabil lagi.
Dua lagi kakaknya juga memikul tanggungjawab untuk membantu orang tua mereka menguruskan kegiatan seharian jika perlu sejak kecil.
Video dimuat naik Nabil di TikTok itu sehingga kini telah mencecah lebih lima juta tontonan.
Warganet turut menulis kata-kata pujian di ruang komen itu dengan menyatakan perbuatan Nabil itu sesuatu yang sangat dipuji demi orang tersayang.
“Sahabat saya ini bakal menjadi manusia terbaik di Jannah nanti,” kata seorang pengguna bernama amsyar.
“Memang syurga tempat kau bang amin,” kata haniiadrn.
Sebilangan warganet pula menyifatkan video itu sebagai contoh benar drama Korea Selatan Twinkling Watermelon yang watak utamanya adalah seorang anak lelaki yang mempunyai ibu bapa bisu dan pekak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg