KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lima anak syarikatnya mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain menggunakan AS$346 juta ($468 juta) wang syarikat pelaburan kerajaan Malaysia itu daripada 48 vendor berbeza di 14 negara.
Ini dinyatakan dalam pernyataan tuntutan dalam saman 1MDB dan anak syarikatnya – SRC International, 1MDB Energy Holdings, 1MDB Energy, 1MDB Energy (Langat) dan Global Diversified Investment Company (dulu dikenali sebagai 1MDB Global Investments – terhadap Datin Rosmah dan Cik Shabnam Naraindas Daswani pada 4 Jun.
Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa terdapat hampir 400 pembelian barangan berkenaan menggunakan dana mereka antara 2010 dan 2014.
Mereka mendakwa lapan entiti, yang berdaftar di luar pesisir, membuat 320 pembelian berjumlah AS$346.01 juta daripada 48 vendor barangan mewah berbeza di tidak kurang 14 bidang kuasa dan barangan itu diterima oleh Datin Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Tun Razak.
Cik Shabnam, seorang pereka fesyen berpangkalan di Singapura yang juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri, didakwa membeli atau mendapatkan barangan mewah itu bagi pihak Datin Rosmah.
Dana 1MDB dan SRC, dakwa mereka, dipindahkan secara curang kepada entiti berkenaan, yang tiada kaitan atau mempunyai tujuan sah dengan objektif pelaburan kedua-dua syarikat itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Plaintif mendakwa entiti berkenaan serta urus niaga di antara mereka membabitkan dana 1MDB dan SRC tidak mempunyai tujuan komersial sah selain bertindak sebagai saluran untuk mengalihkan dana.
Mereka menyenaraikan 48 vendor, termasuk di British Virgin Islands (satu), Hong Kong (sembilan), India (empat), Indonesia (dua), Italy (tiga), Lebanon (tiga), Mauritius (satu), Panama (satu), Singapura (satu), Thailand (dua), Amiriah Arab Bersatu (tujuh), Turkey (dua), Britain (dua) dan Amerika Syarikat (tujuh).
Lapan entiti yang didakwa menerima dana itu ialah Aabar Seychelles, Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Good Star Ltd dan World Merit Management Ltd.
Kesemua lapan entiti itu dikatakan bertindak sebagai perantara dan membuat pembayaran bagi barangan mewah terbabit.
Plaintif juga mendakwa dana 1MDB dan SRC mula-mula dialihkan kepada fidusiari dan pemegang amanah yang dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low; bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng; dan Najib.
Sementara itu, 1MDB dan 10 syarikat lain juga memfailkan permohonan injunksi Mareva terhadap Datin Rosmah bagi menghalang beliau mengeluarkan atau melupuskan sembarang asetnya yang berjumlah lebih RM1.6 bilion itu.
Menerusi permohonan pada 10 Jun itu, semua plaintif antara lain memohon injunksi bagi menghalang Rosmah daripada melupuskan aset tersebut sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, harta tanah atau lain-lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg