Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Segenap lapisan pengundi laksanakan tanggungjawab pilih kerajaan negeri masing-masing

Aug 12, 2023 | 3:30 PM
PM MENGUNDI: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada Sabtu.
PM MENGUNDI: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada Sabtu. - Foto BERNAMA

Rakyat Malaysia di enam negeri pada Sabtu berbondong-bondong ke 3,190 pusat pengundian untuk membuang undi sekali gus melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih dan membentuk kerajaan negeri.

Ada yang beratur lebih awal di pusat pengundian itu yang dibuka 8 pagi dan ditutup 6 petang. Segenap lapisan masyarakat tidak mahu terlepas melakukan tanggungjawab itu termasuk warga emas, golongan muda dan golongan kelainan upaya.

Menurut daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, sekitar 9.67 juta pengundi layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini yang melibatkan pembentukan kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengundi juga menjadi kuasa penentu mengenai gabungan politik manakah – Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), atau Perikatan Nasional (PN) – yang akan diberi kuasa membentuk kerajaan di enam negeri tersebut buat tempoh lima tahun mendatang.

Sebelum ini, kempen PRN selama dua minggu berlangsung tanpa sebarang masalah besar dan berakhir lewat Jumaat malam dengan 570 calon berusaha gigih untuk meraih undi bagi merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri itu.

PRN kali ini melibatkan 56 kerusi DUN di Selangor, Kelantan (45), Pulau Pinang (40), Kedah (36), Negeri Sembilan (36), dan 32 kerusi di Terengganu.

Selangor merekodkan jumlah calon paling ramai bertanding pada PRN kali ini dengan 147 calon, diikuti Kelantan (97), Pulau Pinang (95), Kedah (83), Negeri Sembilan (83) serta 66 calon di Terengganu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg