Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selangor, KL dan Johor antara penyumbang terbesar ekonomi M’sia

Jul 2, 2024 | 3:47 PM
Ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, kekal sebagai antara penyumbang utama ekonomi Malaysia pada 2023.
Ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, kekal sebagai antara penyumbang utama ekonomi Malaysia pada 2023. - Foto AFP

PUTRAJAYA: Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan sumbangan sebanyak 67.7 peratus pada 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6 peratus pada 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM1.6 trilion ($460 bilion).

Empat negeri mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional pada 2023 iaitu Selangor yang berkembang 5.4 peratus, Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan.

Beliau berkata bagi Selangor dan Johor, sektor perkhidmatan masing-masing berkembang sebanyak 6.1 peratus dan 5.4 peratus didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, serta maklumat dan komunikasi.

Manakala bagi Pahang, katanya pengembangan sektor ini sebanyak 6 peratus disokong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Pengembangan sektor pembuatan sebanyak 2 peratus di Selangor pula didorong oleh pertumbuhan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (6.2 peratus) serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta pemprosesan makanan (10.3 peratus).

“Bagi Johor, sektor pembuatannya meningkat 2.8 peratus didorong pertumbuhan produk elektrik, elektronik dan optikal (2.9 peratus), manakala di Pahang pertumbuhan 6.7 peratus bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik telah menyumbang kenaikan 2.1 peratus bagi sektor pembuatan negeri ini.

“Sementara itu, pengembangan ekonomi Kuala Lumpur sebanyak 3.7 peratus dipacu oleh sektor perkhidmatan yang merupakan tonggak utama ekonomi negeri ini. Sektor ini bertumbuh 4.9 peratus, disokong perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Julai.

Datuk Mohd Uzir berkata Sarawak mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang keempat tertinggi Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Malaysia yang tumbuh 1.2 peratus pada 2023.

Beliau berkata sektor perkhidmatan negeri ini meningkat kukuh 5.4 peratus, mengatasi pertumbuhan sektor perkhidmatan nasional.

Beralih ke GDP per kapita, Datuk Mohd Uzir berkata nilai GDP per kapita nasional pada 2023 adalah RM54,612.

Katanya, bagi prestasi mengikut negeri, lima negeri merekodkan nilai GDP per kapita melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM131,038), Labuan (RM83,596), Pulau Pinang (RM72,586), Sarawak (RM72,411) dan Selangor (RM62,492).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg