Seorang pelancong dari India meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah, selepas bas dinaiki terbakar berikutan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan di Malaysia.
Superintenden Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Encik Arshad Abu mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17 tahun.
Pelancong itu terperangkap dalam bas yang terbakar selepas ia terlibat dalam kemalangan pada 3.50 pagi.
Superintenden Arshad berkata bas persiaran itu dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan membawa 28 penumpang.
Beliau berkata penumpang yang cedera parah ialah Encik Peer Mohamed Kannudeen, 69 tahun, dari Kalakad di Tamil Nadu, India, dan Cik Anissa Begum Fakrudin Hussaini, 45 tahun, dari bandar Chennai, India.
Mangsa melecur tahap tiga apabila bas itu hangus dalam kebakaran berikutan bertembung dengan sebuah motosikal.
Superintenden Arshad berkata, dua lagi penumpang cedera ringan, manakala penunggang motosikal, Encik Haziq Hilmi Razali, 21 tahun, selamat tanpa kecederaan.
“Penumpang yang maut dan penumpang yang cedera adalah keluarga,” ujar beliau.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal itu dikatakan terjatuh dari motosikalnya, sebelum bas berkenaan merempuh motosikal dan terbakar.
Penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Alor Gajah. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg