SPRM dedah penyelewengan dana kebajikan kian meningkat
KUALA LUMPUR: Penyelewengan dana awam, termasuk derma dan infak kebajikan, kian meruncing. Ini dorong oleh pengurusan dana yang tidak telus dan penyalahgunaan untuk kepentingan peribadi.
Situasi ini terdedah apabila lebih lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip bantuan kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk pertubuhan yang mengutip sumbangan atas nama Palestin.
Selain NGO, individu, termasuk pempengaruh media sosial, turut dikesan aktif mengutip dana dan infak daripada orang ramai, kononnya bagi tujuan kebajikan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pelbagai modus operandi dikesan pegawai penyiasat selepas kertas siasatan dibuka terhadap pihak yang disyaki terbabit.
Beliau menambah, aktiviti kutipan dana awam atau crowdfunding kini semakin berleluasa, membuka ruang kepada penyelewengan akibat ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang telus.
“Ramai menyangka dana awam hanya melibatkan dana kerajaan. Namun, siasatan SPRM turut meliputi badan seperti NGO kebajikan yang menyeleweng dana masyarakat,” katanya.
“Siasatan mendapati pihak terbabit sering meraih keuntungan segera mencecah jutaan ringgit melalui dana sumbangan kepada NGO. Malah, sejumlah besar dana didapati dipindahkan ke akaun peribadi, dipercayai milik pengurusan tertinggi badan tersebut.
“Situasi ini amat menyedihkan kerana orang ramai menyumbang atas nama kebajikan dan agama,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Tan Sri Azam berkata aktiviti itu memuncak dengan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook yang menjadi saluran mudah untuk sesiapa sahaja dana mengumpul dana.
Pada 2026 sahaja, sekurang-kurangnya empat NGO berkaitan bantuan kemanusiaan disiasat SPRM kerana disyaki menyeleweng dana.
Pada 25 Februari lalu, sebuah pertubuhan yang ditubuhkan bersama jawatankuasa sebuah masjid dan sering menganjurkan tajaan berbuka puasa diserbu SPRM selepas tiga individu termasuk pengerusi dan bendahari ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu membabitkan program sumbangan makanan asas bernilai kira-kira RM5 juta ($1.63).
Pada 5 Februari pula, seorang setiausaha sebuah NGO terkenal yang sering memperjuangkan nasib penduduk di Asia Barat, khususnya Gaza, Palestin, ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM4.2 juta.
Sehari selepas itu, seorang pendakwah bebas direman bersama Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pendidikan serta dakwah di negeri ini kerana disyaki bersubahat dalam penyelewengan dana dianggarkan RM1.3 juta.
Sebelum itu, SPRM Kedah turut menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalahgunakan kuasa meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran bagi mengumpul dana sebuah institusi pendidikan dan dakwah.
Pada Januari lalu, seorang bekas pengerusi pertubuhan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan salah guna wang RM207,000 yang dikutip bagi misi kemanusiaan di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

