Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahuXTahu dikenali sampai di S’pura kerana resipi ‘rahsia’ tauhu bergedil, sambal kicap
JOHOR BAHRU: Bermula dengan hanya satu guni kentang sehari yang mampu menghasilkan 150 pek atau 900 biji tauhu bergedil, TahuXTahu kini berkembang sehingga mampu memproses 100 guni kentang sehari pada waktu puncak.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 15,000 pek atau 90,000 biji tauhu bergedil sehari, mencerminkan perkembangan pesat perniagaan makanan tempatan yang mula beroperasi pada 2017.
Pengasas TahuXTahu, Cik Nur Khalisah Ismail, 33 tahun, berkata beliau tidak menyangka perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan itu mampu berkembang dengan jualan yang terus menunjukkan prestasi positif seiring peningkatan mutu produk.
“Alhamdulillah, perniagaan ini bukan sahaja mampu menyara pekerja, malah jualan tahunan pernah mencecah enam angka. Insya-Allah sasaran kami tahun ini adalah mencapai jualan tujuh angka dan terus mengembangkan perniagaan secara mampan,” katanya.
Cik Nur Khalisah berkata beliau memulakan perniagaan dengan modal sekitar RM100 ($31.47) selepas tamat pengajian dan menghasilkan tauhu bergedil di kedai milik ibunya sebelum membuka premis sendiri pada 2020.
“Pada masa itu, tauhu bergedil sedang tular, jadi saya cuba menghasilkan sendiri dan pada peringkat awal, resipinya tidak begitu menepati cita rasa pelanggan dan banyak menerima aduan. Namun, setiap komen dijadikan panduan untuk menambah baik resipi sehingga pelanggan mula mengatakan ia sedap.
“Selepas itu, saya mula berani menyertai acara jualan di Angsana Mall dan sambutan daripada pelanggan Johor serta Singapura sangat menggalakkan. Apabila permintaan semakin meningkat, saya mengambil keputusan untuk bergerak sendiri dan membuka premis di sini,” katanya kepada agensi berita Bernama baru-baru ini.
Bekas ejen insurans itu berkata kejayaan berkenaan tidak dicapai dalam tempoh singkat kerana proses menghasilkan resipi tauhu bergedil yang benar-benar memenuhi cita rasa pelanggan mengambil masa hampir setahun.
Resipi sambal kicap yang menjadi identiti TahuXTahu pula dibangunkan sendiri selama enam hingga tujuh bulan.
“Ramai yang menjual tauhu bergedil, tetapi kami mahu pelanggan dapat merasai kelainan dari segi inti dan gabungan sambal kicap. Sebab itu kami mengambil masa yang lama untuk mendapatkan rasa yang benar-benar konsisten.
“Jika ditanya kelainan dan keistimewaan tauhu bergedil kami, ia terletak pada resipi rahsia yang memberikan rasa berbeza daripada kebanyakan tauhu bergedil lain, selain gabungan sambal kicap pedas yang turut menjadi keunikan produk,” katanya.
Cik Nur Khalisah kini mempunyai 18 pekerja bagi menyokong operasi syarikat.
Beliau berkata kapasiti pengeluaran TahuXTahu kini mencecah 50 guni kentang sehari pada hari biasa dan meningkat sehingga 100 guni pada waktu puncak seperti hujung minggu dan cuti umum.
Antara produk utama syarikat ialah tauhu bergedil ayam, tauhu bergedil daging, popia ayam dan popia daging.
Seiring peningkatan permintaan, TahuXTahu memperkenalkan prosedur operasi standard bagi memastikan setiap produk dihasilkan mengikut sukatan dan piawaian sama walaupun jumlah pekerja terus bertambah.
Selain mengembangkan operasinya sendiri, syarikat ini turut menyediakan platform kepada kira-kira 100 pengusaha vendor untuk memasarkan produk makanan mereka di premis TahuXTahu.
Menurut Cik Nur Khalisah, kebanyakan vendor terdiri daripada golongan berusia, selain usahawan muda yang menghasilkan produk makanan sendiri tetapi berdepan kekangan dari segi pemasaran.
Mengulas cabaran perniagaan, beliau berkata kenaikan harga bahan mentah akibat inflasi menjadi antara tekanan utama terhadap operasi syarikat.
Bagaimanapun, setiap kali harga produk perlu diselaraskan, syarikat memastikan pelanggan menerima nilai tambah, termasuk meningkatkan berat inti tauhu bergedil daripada 30 gram kepada 40 gram serta menggunakan pembungkusan lebih bermutu.
Cik Nur Khalisah berkata beliau turut melabur kira-kira RM200,000 untuk mengubah suai premis kedua yang mula beroperasi pada Ogos 2024 bagi meningkatkan keselesaan pelanggan.
Pelaburan itu membuahkan hasil apabila jualan syarikat meningkat 100 peratus pada tahun pertama selepas berpindah ke premis baharu.
Dalam pada itu, TahuXTahu kini dalam proses mendapatkan beberapa pensijilan sebagai persediaan untuk memperluas pasaran ke seluruh negara sebelum menembusi pasaran antarabangsa.
“Buat masa ini keutamaan kami adalah mengukuhkan pasaran di Malaysia terlebih dahulu kerana produk kami mempunyai jangka hayat yang pendek dan memerlukan pengurusan logistik yang teliti,” katanya.
