KLUANG: Warga Malaysia akan membayar lebih murah mulai tahun depan ketika menggunakan perkhidmatan keretapi ulang alik Tebrau dari Woodlands, Singapura ke Johor Bahru apabila kadarnya ditetapkan pada RM5 ($1.44).
Ketika ini kadar tambang perkhidmatan keretapi ulang alik Tebrau ke Woodlands adalah RM5 manakala, perjalanan pulang ke Johor Bahru dari sana berharga $5 atau sekitar RM17.39.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menstukturkan semula kadar tambang itu, dan rakyat Malaysia akan dapat berjimat apabila tidak perlu lagi membayar tambang berharga $5.
“KTMB semalam setelah mencadangkan kepada saya perubahan stuktur untuk memudahkan rakyat kita dan mengelakkan pihak lain ambil peluang.
“Untuk warga negara Malaysia, kita tetapkan satu kadar tambang RM5 untuk pergi dan balik. Ini sudah tentu menjimatkan penumpang yang bergantung kepada mod (kaedah) shuttle ini.
“Saya sambut baik cadangan itu dan saya akan bawa kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kita harap ia akan dilaksanakan mulai awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Johor pada 10 Disember.
Encik Loke berkata, perkhidmatan ulang alik Tebrau akan memanfaatkan rakyat Malaysia khususnya yang bekerja di Singapura dengan penjimatan sehingga RM200 bagi 20 kali penggunaan.
“Walaupun pada perancangan asal shuttle Tebrau akan dihentikan operasi selepas Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru – Singapura beroperasi pada awal 2027, dalam tempoh tiga tahun ini, ia memudahkan rakyat kita yang bekerja di sana,” katanya. – BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg