Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada lagi sistem pencen bagi penjawat awam baru M’sia

Jan 25, 2024 | 1:46 PM
TUNJANG PENTADBIRAN: Keputusan Kerajaan Perpaduan memansuhkan sistem pencen untuk penjawat awam baru di Malaysia mendapat pelbagai reaksi rakyat pelbagai lapisan dan pemimpin masyarakat yang menggesa ia dinilai semula.
TUNJANG PENTADBIRAN: Keputusan Kerajaan Perpaduan memansuhkan sistem pencen untuk penjawat awam baru di Malaysia mendapat pelbagai reaksi rakyat pelbagai lapisan dan pemimpin masyarakat yang menggesa ia dinilai semula. - Foto FACEBOOK KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

BANGI: Perjawatan penjawat awam baru berstatus tetap di Malaysia selepas ini tidak lagi diberikan pencen, sebaliknya akan mencarum pada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion ($34 bilion) setahun.

Beliau bagaimanapun berkata bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas.

Kabinet pada 24 Januari meluluskan dasar baru pengambilan secara tetap perjawatan awam, tetapi tidak berpencen dan kerajaan akan memberikan sumbangan KWSP sebagaimana lazim dilakukan kepada kakitangan swasta.

“Mana-mana yang layak juga diberikan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 24 Januari.

Namun keputusan kerajaan itu mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, menggesa cadangan pemansuhan pencen wakil rakyat dilaksanakan terlebih dulu sebelum melaksanakannya kepada penjawat awam.

“Semua pihak memahami tekanan kewangan ditanggung kerajaan ketika ini.

“Namun tidak adil jika kita mansuhkan pencen penjawat awam, tetapi wakil rakyat pula menikmati pencen sehingga akhir hayat. Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula berkata sebarang bentuk penyelesaian berhubung gaji penjawat awam yang hendak dilaksanakan kerajaan tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan mereka.

“Langkah itu juga tidak boleh mengecilkan saiz perkhidmatan awam tanpa mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara,” katanya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu, Datuk Razali Idris, berpandangan keputusan kerajaan itu akan menyebabkan negara berdepan kekurangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg