Topik diikuti
Pergi ke BHkuUniversiti Malaya mohon maaf persembahan teater cetus kontroversi
Universiti Malaya mohon maaf persembahan teater cetus kontroversi
Adegan tidak sopan dalam satu pertandingan teater universiti tular sehingga cetus reaksi kurang senang
Universiti Malaya mohon maaf persembahan teater cetus kontroversi
Universiti Malaya (UM) membuat permohonan maaf atas kekhilafan serta kegusaran yang timbul menyusuli adegan tidak sopan dalam satu pertandingan pementasan teater universiti itu yang tular, sehingga mencetus reaksi kurang senang masyarakat.
Dalam satu kenyataan, UM berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan.
Menurut UM, hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan dalam persembahan teater itu adalah tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan.
UM berkata ia jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan karnival teater itu yang telah ditetapkan.
“Berdasarkan syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater UM, setiap persembahan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.
“Hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan dan jelas melanggar syarat pertandingan yang ditetapkan.
“Pihak universiti memandang serius perkara ini serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan.
“Sehubungan itu, UM dengan ini memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul,” kata UM dalam kenyataan pada 16 April.
Menjelaskan lanjut, UM tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan.
Justeru UM telah memutuskan persembahan teater berkenaan tidak layak untuk dinilai.
“Tindakan susulan juga sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” kata UM.
Terdahulu, satu adegan kurang sopan dalam pementasan teater dilakonkan penuntut wanita dan lelaki di atas katil telah mengundang reaksi kurang senang orang ramai kerana didakwa memaparkan babak yang tidak sesuai dengan budaya Malaysia.
Adegan di atas katil itu didakwa telah membenarkan aksi dan sentuhan yang berlebihan dan dianggap melanggar batasan penuntut universiti.
Antara yang turut membuat teguran di media sosial ialah pendakwah bebas, Encik Firdaus Wong.
“Adakah kita sedang melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi tetapi akhlaknya rendah? Saya ada video itu, tetapi sangat memalukan untuk saya kongsikan adegan itu yang disertai jeritan penonton,” tulisnya di Instagram.
Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) dalam satu kenyataan turut mengecam pementasan teater tidak sopan itu oleh salah satu pasukan teater kolej di kampus berkenaan.
KMUM berkata pementasan yang sepatutnya menjadi medium seni, intelektual dan pembangunan sahsiah mahasiswa tidak boleh disalahgunakan sebagai ruang untuk membiasakan kandungan tidak bermoral dan mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan warga kampus.
