SEREMBAN: Dua perkampungan Orang Asli (OA) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, iaitu Kampung Chergun dan Guntur, kini dikuarantin selepas penempatan berkenaan dijangkiti wabak kusta yang menyebabkan seorang penduduk meninggal dunia pada 17 Februari.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut menutup Pusat Reakreasi Jeram Tengkek berhampiran kampung berkenaan, bagi mengelakkan penularan wabak.
Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang remaja OA berusia 18 tahun maut, manakala lapan lagi OA dari Kampung Chergun dan Guntur, mengalami jangkitan akibat wabak kusta yang menular di penempatan mereka.
Mangsa yang meninggal dunia sebelum itu dilaporkan mengalami demam selama seminggu, lapor Berita Harian Malaysia.
Penyakit kusta, atau lebih dikenali sebagai Hansen’s disease atau leprosy, berpunca daripada jangkitan kuman, Mycobacterium leprae, yang boleh menyebabkan kesan sampingan serius pada kulit, saraf, mata, perubahan kosmetik serta bahagian dalam hidung.
Penyakit kusta adalah penyakit bawaan udara atau airborne dan boleh merebak melalui titisan di udara, seperti pesakit kusta bersin atau batuk menyebabkan titisan yang mengandungi bakteria dilepaskan ke udara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, bagaimanapun berkata kes kusta di dua perkampungan OA itu adalah kes terpencil dan orang ramai dinasihatkan usah panik atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Susulan penularan wabak terbabit, penduduk di kededua kampung itu kini dikuarantin dalam rumah masing-masing dan KKM giat menjalankan saringan ke atas penduduk serta kontak rapat dan mana-mana yang dikesan mengalami gejala akan diberikan rawatan awal.
“Ketika ini KKM masih menyiasat punca jangkitan wabak kusta di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, sehingga menyebabkan satu kematian setakat ini.
“KKM sedang mendapatkan laporan terperinci mengenainya dan perkembangan kes itu kini dipantau rapi.
“Punca masih belum dikenal pasti, tetapi memang berkait rapat dengan penyakit kusta dalam kalangan masyarakat OA,” katanya.
Pada Januari 2024, KKM memaklumkan kes kusta baru di Malaysia meningkat 40 peratus kepada 256 kes pada 2023, berbanding 183 kes pada 2022.
Peningkatan kes baru itu berikutan pengukuhan kegiatan mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan, selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baru menjelang 2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg