Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Walau belanja di Johor, usah lupa sokong bazar S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Walau belanja di Johor, usah lupa sokong bazar S’pura

Mar 10, 2024 | 05:30 AM



pada 12 Mac, kita bakal memulakan ibadah puasa Ramadan.

Dijangkakan ramai penduduk Singapura akan ke Malaysia... ke bazar di Johor khususnya.

Antara sebab utama adalah adanya pelbagai macam makanan halal lagi sedap boleh didapatkan di sana.

Satu lagi sebab utama adalah harganya yang lebih rendah, ekoran tukaran wang dolar Singapura kepada ringgit Malaysia yang baik.

Saya juga pernah ke bazar di Johor Bahru dan di beberapa kawasan Johor lain dan mendapati pengalamannya memang menyeronokkan dan tidak ‘memberatkan’ kocek.

Sebab lain penduduk Singapura ke sana kali ini pula adalah permulaan bazar kali ini bersamaan dengan cuti sekolah seminggu di sini.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah memaklumkan bahawa pihaknya menjangkakan “trafik sesak” di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas antara 8 dengan 18 Mac ini.

Di Singapura, bazar boleh didapati antaranya di Geylang Serai, Kampong Gelam, Woodlands, Jurong West dan Tampines.

Pelbagai makanan ditawarkan termasuk makanan tradisional dan lakuran iaitu ‘fusion’. Saya lebih gemar makanan tradisional berbanding makanan ‘fusion’ yang lebih digemari warga muda dan seringkali dijual pada harga lebih tinggi.

Faktor harga lebih tinggi itu jugalah yang mendorong ramai penduduk Singapura ke bazar Johor.

Sebab itu saya gembira dengan berita bahawa pada 2024 telah ditetapkan had maksimum sewa bagi gerai di bazar Geylang Serai dan Kampong Gelam.

Had sewa maksimum bagi gerai bazar 2024 di Wisma Geylang Serai adalah $15,000 – 40 peratus lebih rendah berbanding harga sewa gerai pada 2023 yang mencecah hingga $25,000.

Penetapan had maksimum itu menyusuli maklum balas dan keprihatinan orang ramai, termasuk peniaga dan pembeli mengenai kos sewa gerai dan harga barangan/makanan yang tinggi.

Selain itu, had sewa maksimum di bazar Kampong Gelam pula adalah antara $13,300 dengan $13,800 bagi gerai makanan dan minuman, selain $3,500 hingga $4,000 bagi gerai runcit.

Apa yang diharapkan dengan langkah ini adalah dengan kos sewa lebih rendah, peniaga dapat menjual produk dan makanan mereka pada harga lebih berpatutan dan masih dapat meraih untung.

Sememangnya, jika kadar sewa tinggi, mereka terpaksa mengenakan harga lebih tinggi demi meraih keuntungan. Peniaga mana yang tak mahu untung apabila berniaga, termasuk di bazar.

Namun jika dibandingkan dengan bazar di Johor, harga di bazar Singapura masih lebih tinggi.

Cuma ‘ada harga lain yang perlu dibayar’ untuk ke Johor – perjalanannya seringkali bukan mudah, kadangkala memakan masa berjam-jam untuk sampai ke Johor Bahru sama ada dengan kenderaan sendiri mahupun kenderaan awam seperti bas, apatah lagi ICA sudah memberi amaran mengenai trafik yang sesak.

Tiada masalah untuk kita pergi bazar di Johor, namun sering-seringlah juga pergi ke bazar di Singapura untuk menyokong peniaga tempatan. Ini memandangkan di Johor sendiri sudah ada pelanggan tempatan yang menyokong bazar di situ.

Sukar dibayangkan ada penduduk Malaysia, khususnya di Johor, yang mahu berbelanja di bazar Singapura dengan kadar tukaran mata wang yang tidak menguntungkan mereka.

Pada masa sama, peniaga di sini juga usahlah menjual barangan dan makanan pada kadar harga yang melebihi kemampuan ramai sehingga membebankan kocek penduduk Singapura.

Namun apa pun, kalau bukan kita yang sokong peniaga tempatan di bazar Singapura, siapa lagi yang akan menyokong mereka? Justeru kedua-dua peniaga dan pelanggan memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan projek bazar di sini.

Semoga ibadah puasa kita dalam bulan mulia Ramadan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya, sama ada bagi warga Singapura mahupun Malaysia. Selamat berpuasa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >