Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita hamil lima bulan maut bersama ibu dalam kemalangan di Kedah

Dec 4, 2023 | 3:03 PM
RAGUT NYAWA: Keadaan kereta Perodua Bezza yang terbabit kemalangan remuk teruk menyebabkan Cik Nadzifah Abu Seman, 28 tahun dan ibunya, Cik Romadiah Ismail, 65 tahun, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kolon, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah, pada 3 Disember.
RAGUT NYAWA: Keadaan kereta Perodua Bezza yang terbabit kemalangan remuk teruk menyebabkan Cik Nadzifah Abu Seman, 28 tahun dan ibunya, Cik Romadiah Ismail, 65 tahun, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kolon, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah, pada 3 Disember. - Foto FACEBOOK ISMAIL MOHAMAD

ALOR SETAR: Seorang wanita yang sarat mengandung dan ibu kandungnya maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kolon, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah, pada 3 Disember.

Dalam kemalangan pada 9.55 pagi itu, Cik Nadzifah Abu Seman, 28 tahun, yang kini hamil lima bulan, bersama ibunya, Cik Romadiah Ismail, 65 tahun, disahkan maut selepas Perodua Bezza dinaiki mereka dirempuh sebuah lori tanah.

Kemalangan turut membabitkan dua lagi kenderaan.

Kemalangan itu meninggalkan duka buat suami mangsa, Encik Ismail Mohamad, 28 tahun, yang tidak dapat menahan sayu mengenangkan keterujaannya dan isteri untuk menimang cahaya mata sulung yang dijangka pada April 2024.

“Saya dan isteri sangat teruja untuk menyambut kelahiran anak sulung selepas Nadzifah keguguran pada 2023.

“Apa pun saya reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan isteri dan ibu mentua dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, lapor Berita Harian Malaysia pada Ahad.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata Cik Nadzifah dalam perjalanan untuk melawat kakaknya di sebuah pusat perubatan swasta di pusat bandar dengan ditemani ibu.

“Sepatutnya saya hantar mereka ke sana, tetapi isteri bimbang menyusahkan dan beritahu akan memandu sendiri ke sana menggunakan Perodua Bezza milik kakaknya.

“Ketika saya di tempat kerja, ada rakan hantar video kemalangan kereta dan lori yang tular di media sosial. Sebaik nampak Perodua Bezza biru dalam video tu, saya mula cemas dan cuba hubungi isteri dua kali tetapi tidak dijawab.

“Hati saya bertambah bimbang apabila kakak menghubungi memaklumkan isteri dan ibu mentua tidak sampai lagi di pusat perubatan berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata siasatan awal mendapati lori tanah terbabit dipercayai datang dari arah Alor Setar menghala Pokok Sena, manakala tiga kenderaan lagi datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit membrek untuk mengelak motosikal yang memasuki laluan hadapan menyebabkan kenderaan itu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Lori terbabit kemudian melanggar Perodua Bezza di lorong kanan laluan bertentangan, sebelum melintang dan terbalik, menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Perodua Axia dan sebuah Toyota Hilux,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg