Seorang wanita Singapura diselamatkan selepas terjatuh di kawasan air terjun Taman Eko Hutan Kanching, Selangor, pada 6 Jun.

Insiden di kawasan popular berhampiran Rawang itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Rawang.

Pasukan Alpha bomba telah dikerahkan bagi menjalankan operasi menyelamat khas.

Wanita tersebut berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan punca kejadian atau tahap kecederaan mangsa.

Gambar yang dikongsikan oleh pihak bomba memaparkan detik-detik anggota penyelamat mengusung mangsa keluar dari kawasan hutan, dengan mangsa dilihat menerima rawatan awal pada bahagian kepala.

“Operasi menyelamat berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak yang terlibat,” menurut catatan jabatan tersebut di Facebook.

Terdapat beberapa kes kecederaan akibat jatuh di taman eko pada tahun-tahun sebelumnya.

Pada 2025, seorang wanita warga New Zealand terpaksa diselamatkan oleh lapan anggota bomba selepas beliau jatuh setinggi enam meter, lapor The Star.

Wanita itu mengalami kecederaan di tangan kiri, kaki dan belakangnya.

Dalam catatannya pada 6 Jun, jabatan penyelamat juga menggesa orang ramai yang melawat kawasan air terjun supaya mengutamakan keselamatan mereka dengan mengikuti tanda amaran, memakai kasut yang sesuai dan mengelakkan aktiviti di kawasan licin, berbatu dan berbahaya.

Kanak-kanak juga harus diawasi oleh ibu bapa atau penjaga mereka sepanjang masa, menurut catatan itu. Ia menambah bahawa pelawat dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri mereka sendiri, terutamanya semasa cuaca buruk atau selepas hujan.

“Keselamatan adalah tanggungjawab semua orang. Sentiasa berwaspada dan mengutamakan nyawa daripada mengambil risiko yang tidak perlu, ” kata jabatan itu lagi.