Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita S’pura terjatuh di air terjun di Selangor diselamat
Wanita S’pura terjatuh di air terjun di Selangor diselamat
Wanita S’pura terjatuh di air terjun di Selangor diselamat
Seorang wanita warga Singapura diselamatkan selepas terjatuh di kawasan air terjun Taman Eko Hutan Kanching di Selangor, pada 6 Jun.
Kejadian di kawasan popular berhampiran Rawang itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Rawang.
Pasukan bomba Alpha telah dikerah bagi menjalankan operasi menyelamat khas itu.
Wanita tersebut berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan punca kejadian tersebut atau tahap kecederaan mangsa.
Gambar yang dikongsikan oleh pihak penyelamat memaparkan detik-detik anggota penyelamat mengusung mangsa keluar dari kawasan hutan itu, dengan wanita itu dilihat menerima rawatan awal pada bahagian kepala.
“Operasi menyelamat berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak yang terlibat,” berdasarkan hantaran jabatan tersebut di Facebook.
Terdapat beberapa kes kecederaan akibat terjatuh di taman eko itu pada tahun-tahun sebelumnya.
Pada 2025, seorang wanita warga New Zealand terpaksa diselamatkan oleh lapan anggota bomba selepas beliau jatuh dari ketinggian 6 meter, lapor The Star.
Wanita itu cedera di tangan kiri, kaki dan belakangnya.
Dalam catatannya pada 6 Jun, jabatan penyelamat itu turut menggesa orang ramai yang melawat kawasan air terjun tersebut supaya mengutamakan keselamatan dengan mengikut tanda amaran, memakai kasut yang sesuai dan mengelakkan kegiatan di kawasan licin, berbatu dan berbahaya.
Kanak-kanak juga harus diawasi oleh ibu bapa atau penjaga mereka sepanjang masa, tambah catatan itu.
Ia menambah, pelawat dinasihatkan supaya berhati-hati, terutama semasa cuaca buruk atau selepas hujan.
“Keselamatan adalah tanggungjawab semua orang. Sentiasa berwaspada dan mengutamakan nyawa daripada mengambil risiko yang tidak perlu,” tambah jabatan itu.
