Warga S’pura pertama didenda, diarah jalani khidmat masyarakat selepas buang sampah merata-rata di KL
Warga S’pura pertama didenda, diarah jalani khidmat masyarakat selepas buang sampah merata-rata di KL
Seorang lelaki menjadi warga Singapura pertama dikenakan hukuman denda RM1,500 ($485) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 Februari, selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada awal pagi 1 Januari lalu.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Nuh Qursaini Kayat, 25 tahun, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan pesalah menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan, menurut kenyataan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Malaysia (SWCorp).
Tindakan itu adalah yang pertama membabitkan warga Singapura yang membuang sampah merata-rata di tempat awam, selepas Malaysia menguatkuasakan undang-undang baru yang lebih tegas bermula 1 Januari lalu.
Tindakan lebih tegas terhadap individu yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab itu termasuk boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Hukuman khidmat masyarakat merangkumi menyapu jalan dan membersihkan longkang serta tandas awam.
Dalam kes Mohamed Nuh Qursaini, beliau didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran sebuah kedai serbaneka di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 1.45 pagi, 1 Januari 2026.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000.
Sebagai tambahan, pesalah juga boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak lebih 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan, dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.
Terdahulu, Berita Harian Malaysia melaporkan, Pegawai Pendakwa SWCorp, Encik Muhammad Syarihul Mohd Dzahir, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada pesalah dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.
Mohamed Nuh Qursaini yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan semasa kejadian tiada tong sampah di kawasan tersebut dan memilih membuangnya di lantai kerana terdapat puntung rokok di lantai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Encik Khalid Mohamed, dalam satu kenyataan berkata setakat hari ini seramai enam individu yang merupakan warga asing telah didakwa di mahkamah bagi kesalahan membuang sampah termasuk puntung rokok.
Beliau berkata pelaksanaan PKM itu akan diadakan secara serentak pada 13 Februari di lima kawasan melibatkan kes-kes yang telah melalui proses mahkamah sehingga 12 Februari.
“Pendekatan PKM ini bukan saja meningkatkan tahap pematuhan undang-undang, malah berpotensi dijadikan penanda aras kepada pelaksanaan penguatkuasaan di negeri lain yang melaksanakan akta sama,” katanya.
Encik Khalid berkata setakat ini, sebanyak 644 kes melibatkan kesalahan membuang sampah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di tujuh negeri, dengan 500 daripadanya membabitkan pesalah warga Malaysia dan 144 warga asing.
“Ada lagi individu lain yang akan didakwa di mahkamah pada 10 hingga 12 Februari ini,” katanya.
Dalam persidangan Parlimen baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Encik Nga Kor Ming, memaklumkan semua pesalah yang disabitkan mahkamah bagi kesalahan membuang sampah akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat secara serentak pada 13 Februari ini.
Beliau berkata pesalah akan menjalani hukuman dengan membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam, mengikut sabitan mahkamah.

