Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Waspada video konspirasi rosak imej agama, Nabi Muhammad: Mufti P. Pinang

Apr 4, 2024 | 12:32 PM
Antara video yang merosakkan imej agama serta Nabi Muhammad saw di YouTube, yang tular dan boleh diakses pelayar.
Antara video yang merosakkan imej agama serta Nabi Muhammad saw di YouTube, yang tular dan boleh diakses pelayar. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO YOUTUBE

GEORGETOWN: Umat Islam diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap konspirasi oleh pihak yang ingin merosakkan imej agama serta Nabi Muhammad saw di mata umum, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Ia susulan tular video yang dimuat naik di YouTube memaparkan pelbagai kisah Nabi Muhammad saw termasuk penyusuan orang dewasa di luar konteks Islam.

“Umat Islam terutama di Malaysia diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kisah seperti yang dimuat naik pihak tertentu di YouTube.

“Kita tidak tahu apakah niat dan tujuan pihak yang mengeluarkan filem atau lakonan itu, namun penting bagi umat Islam untuk sentiasa berwaspada terhadap konspirasi pihak yang ingin merosakkan imej agama dan Nabi Muhammad saw,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas lanjut, Datuk Wan Salim berkata terdapat video seorang wanita menyusukan lelaki yang sudah cukup umur baligh dengan tujuan supaya sabit atau berlaku hubungan nasab serta hukum pengharaman nikah antara ibu dan anak susuan.

Berdasarkan hukum Islam, jika seorang perempuan menyusukan kanak-kanak, maka terjalin hubungan antara kedua mereka seperti ibu dan anak kandung.

“Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa pandangan majoriti ulama, penyusuan seorang wanita kepada lelaki yang sudah melepasi usia kanak-kanak tidak memberi apa-apa kesan di sudut pengharaman perkahwinan seperti pengharaman melalui nasab.

“Ada antara ulama juga yang menafikan kejadian Siti Aisyah menyusukan Salim, bekas hamba Abu Hanifah ketika Salim sudah baligh atau meningkat remaja,” katanya lagi.

Namun begitu, Datuk Wan Salim berkata jika diandaikan peristiwa itu memang berlaku, maka menurut ulama ia adalah satu kes khusus yang tidak harus digeneralisasikan.

“Selain itu, penyusuan berkenaan menerusi perahan ke dalam bijana dan Salim meminumnya seperti meminum air biasa.

“Malah ada yang mengatakan bahawa hukum keharusannya sudah dimansuhkan, lantaran itu kita dapati kejadian sedemikian tidak berlaku secara berleluasa dalam kalangan sahabat Nabi Muhammad saw,” katanya.

Sementara itu, pemeriksaan di YouTube mendapati kandungan video mengenai penyusuan itu sudah disekat dan dimaklumkan bahawa tidak boleh ditonton pelayar di negara ini.

Bagaimanapun terdapat video lain seumpamanya yang masih boleh diakses di halaman YouTube itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg