Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengulangi gesaan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 disegerakan, sambil memberi isyarat bahawa parti itu bersedia membentuk kerjasama politik baharu apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’.

Dalam landskap politik Malaysia, ‘biru’ merujuk kepada warna rasmi Barisan Nasional (BN), manakala ‘hijau’ dikaitkan dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) – dua parti yang pernah menjadi seteru, tetapi kini semakin mendekati satu sama lain atas agenda penyatuan Melayu/Islam.

Gesaan untuk PRU16 diadakan pada 2027 sebelum penggal Parlimen ke-15 dijadualkan tamat pada Februari 2028 itu, disampaikan Datuk Zahid dalam Ucapan Dasar Presiden dan perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada 11 September.

Datuk Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata mandat perlu dipulangkan kepada rakyat, sambil menegaskan Umno bersedia berdepan lawan politik di medan PRU16.

Walaupun tidak menyebut mana-mana lawan politik secara khusus, kenyataan Datuk Zahid itu boleh ditafsirkan sebagai merujuk kepada Pakatan Harapan (PH), yang kini menjadi rakan gabungan Umno/BN dalam Kerajaan Perpaduan.

Di pentas sama di hadapan lebih 5,000 perwakilan dari serata Malaysia itu, Datuk Zahid turut dilihat melontarkan kritikan dipercayai kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.

Beliau berkata PRU16 adalah detik bagi Umno mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan negara.

“Justeru, telah tiba masanya PRU16 disegerakan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan, ini kehendak rakyat. Cukup-cukup lah. Bagi peluang kami pula.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang kita dah berlawan, kita lawan.

“Apatah lagi apabila biru bertemu hijau. Pastinya warna akan berubah. Kita mahu orang Melayu kuat, tanpa orang lain hidup dalam ketakutan.

“Kita mahu Islam terus dimartabatkan, tanpa agama lain merasa terancam. Kita mahu Umno menjadi induk kekuatan politik Melayu, tetapi cukup besar jiwanya untuk berkongsi kuasa,” katanya sambil disambut tepukan para hadirin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, Umno/BN dan PH bertanding menentang satu sama lain, dengan BN mencatat kemenangan besar di 48 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.

Bagaimanapun, pada PRN Negeri Sembilan, Umno/BN mengejutkan PH apabila membentuk persefahaman sulung menerusi pembahagian kerusi dengan gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS, menyaksikan gabungan itu menumbangkan PH dengan menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN.

Bagi PRN Melaka yang akan diadakan dalam tempoh terdekat, BN kini sedang memuktamadkan kerjasama dengan parti lain, namun terdapat desakan kuat daripada pemimpin parti di negeri itu supaya persefahaman dijalin dengan PN, sekali gus menolak kerjasama dengan PH.

Selain pimpinan parti komponen BN, PAU 2026 turut dihadiri pemimpin tertinggi PAS diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, selepas pemimpin Umno pada awal September turut menyambut jemputan PAS ke Muktamar Tahunan ke-72 parti itu di Kelantan.

Datuk Zahid turut mengangkat semula gagasan Kolaborasi Agung yang diilhamkan beliau pada PAU 2025, yang menuntut persefahaman politik antara gabungan parti politik sedia ada di Malaysia.

“Kolaborasi Agung bukan penggabungan parti. Sebaliknya ia adalah persefahaman bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan,” katanya.

Dalam ucapannya, Datuk Zahid turut dilihat menyampaikan sindiran jelas kepada Datuk Anwar terhadap beberapa keputusan kerajaan, dengan menggunakan label ‘guru’ yang trending di media sosial.

Datuk Anwar sebelum ini sering dikaitkan dengan gelaran ‘guru’, sementara Datuk Zahid digelar sebagai ‘murid’.

Beliau mengkritik tindakan kerajaan mengenai program subsidi petrol Budi95 yang berubah-ubah, selain isu percukaian yang membebankan rakyat.

Datuk Zahid turut mendesak untuk kerajaan mengembalikan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan BN di bawah Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, dan dimansuhkan pada 2018 selepas kejatuhan BN.

“Cukup, cukuplah guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup, cukuplah! InsyaAllah kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat,” tambah Datuk Zahid.

Sementara itu, mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang baru kembali menyertai parti itu pada April lalu di bawah inisiatif Rumah Bangsa diilhamkan Datuk Zahid menyifatkan ucapan dasar Presiden itu adalah amanat daripada bakal perdana menteri pada PRU akan datang.

“Rumusan daripada ucapan itu, ia adalah ucapan seorang prime minister in waiting (bakal perdana menteri) dan ucapan sebuah government in waiting (kerajaan yang bakal ditubuhkan),” katanya ketika ditemui selepas PAU 2026.