Topik diikuti
Pergi ke BHku10 anak saudara bergilir bantu ‘Mak’ lawan barah
Jaga makcik sama seperti ibu kandung sendiri.
Itulah yang dilakukan Cik Naemma Juraimi, 37 tahun, dan sepupunya yang lain apabila ibu saudara mereka, Cik Rahmah Abdul, 67 tahun, yang menghidapi barah tulang rawan, chondrosarcoma, tahap kedua.
“Kami memanggilnya Mak kerana dia dah macam ibu kami dan banyak menjaga serta memanjakan kami apabila membesar.
“Sekarang, kami mahu membantunya mengharungi rintangan ini,” kongsi Cik Naemma tentang mak ciknya itu yang tidak pernah berkahwin dan tinggal seorang diri.
Cik Naemma kini bergilir dan membahagikan tugas dengan sembilan lagi sepupunya untuk menjaga Cik Rahmah.
Cik Rahmah telah didiagnosis dengan penyakit tersebut pada September 2025 apabila doktor mendapati sel barah telah merebak dari lelangit beliau hingga ke pangkal tengkorak beliau.
Pada Februari, beliau menjalani pembedahan besar untuk membuang semua sel tersebut dan mengelakkan perebakan lanjut.
“Doktor menasihati kami untuk membuang sel barah dengan cepat kerana jika merebak ke mata, makcik saya boleh menjadi buta,” kata Cik Naemma.
Namun, pembedahan tersebut telah menjejas deria rasa dan bau Cik Rahmah kerana beberapa saraf di pangkal tengkorak terpaksa dibuang.
Sejak pembedahan itu, Cik Rahmah perlu menjalani terapi proton beam setiap hari untuk menghapuskan sel barah secara sepenuhnya.
Antara kesan sampingan yang dihadapi Cik Rahmah termasuk rasa mudah letih, kurang bertenaga, dan kehilangan selera makan.
Disebabkan kos terapi yang tinggi, beliau meminta untuk menukar kekerapan terapi tersebut kepada setiap minggu sejak Jun.
Semasa ditemui Berita Harian (BH), Cik Naemma berkata setiap sesi terapi memerlukan sekitar $1,000.
Walaupun Cik Rahmah mempunyai perlindungan insurans, beliau masih memerlukan sekitar $100,000 untuk pembiayaan terapi, perubatan, dan bil pakar.
“Setelah kami semua berusaha dan mengumpul duit, kami masih memerlukan sekitar $80,000,” kata Cik Naemma, yang merupakan seorang pemandu sewa privet (PHV) dan sering menghantar Cik Rahmah untuk rawatan dan berjumpa doktor.
Menurut Cik Naemma, Cik Rahmah masih menjalani pemeriksaan lanjut dan satu biopsi untuk tumbuhan itu akan dilakukan pada 20 Ogos.
Cik Naemma dan saudara-maranya sedang menjalankan usaha pengumpulan dana untuk pembiayaan rawatan Cik Rahmah.
“Bagi kami, apabila seseorang menghidap kanser, sokongan mental dan emosi juga penting semasa menjalani rawatan.
“Kami berharap usaha kami dapat mengurangkan tekanan padanya untuk terus menjalani rawatan yang diperlukan,” tambah Cik Naemma.
Cik Naemma turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada beberapa perniagaan dari rumah (HBB) juga telah bantu menguar-uarkan usaha beliau dan sepupunya untuk mengumpul dana di platform mereka.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi laman https://gogetfunding.com/help-our-mother-continue-her-fight-against-cancer/.

