Topik diikuti
Pergi ke BHku7 jahitan di bibir, gigi patah, selepas pelajar menengah satu dibanting rakan sekelas ke lantai
Sekolah gantung sekolah pelaku, kenakan tindakan lain selepas siasatan
Seorang pelajar lelaki menengah satu di Sekolah Menengah Outram memerlukan tujuh jahitan di bibirnya angkara insiden di mana dia dipercayai diangkat dan dibanting ke lantai oleh rakan sekelasnya.
Sebatang gigi pelajar itu patah dan tiga lagi giginya kini longgar.
Ibunya, yang tidak dinamakan untuk melindungi pelajar itu, memberitahu Berita Harian (BH) anaknya juga mungkin memerlukan rawatan psikiatri untuk pulih daripada kejadian tersebut.
Menyusuli siasatan yang dilaksanakan sekolah, pelajar lelaki yang berbuat demikian kepada pelajar tersebut akan sekurang-kurangnya digantung sekolah dan menerima gred tingkah laku yang disesuaikan.
BH difahamkan ibu pelajar yang menjadi mangsa telah membuat laporan polis.
Beliau mendakwa kejadian tersebut berlaku di sekolah pada 28 Mei, apabila rakan sekelas anaknya itu meludah ke baju anaknya di luar dewan sekolah.
Anaknya kemudiannya mengelap ludah tersebut pada baju rakan sekelasnya itu.
Justeru, rakan sekelas itu dipercayai mengangkat anaknya dari belakang dan membantingnya ke lantai.
Menurut ibu tersebut, anaknya mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan pertumbuhannya dan mempunyai berat badan sekitar 30 kilogram.
Berdasarkan maklumat dari HealthHub, kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun biasanya mempunyai berat badan antara 45-48 kilogram (kg).
Pelajar itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk menerima rawatan.
Laporan doktor yang dilihat BH menunjukkan bibir pelajar itu koyak, manakala satu giginya patah dan tiga giginya longgar.
Menjawab pertanyaan BH, pengetua Sekolah Menengah Outram, Encik Keith Tan, mengesahkan kejadian tersebut berlaku dan ia sedang ditangani secara serius.
“Pihak sekolah kemudian telah menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk beberapa pusingan temu bual dan lakonan semula bersama saksi kejadian, bagi memastikan fakta kes dengan teliti,” katanya.
Encik Tan berkata tindakan disiplin yang sewajarnya telah dikenakan ke atas pelaku.
“Tindakan tersebut termasuk penggantungan sekolah, penyesuaian gred tingkah laku serta tindakan lain, selaras dengan rangka kerja disiplin sekolah,” tambah beliau.
“Sepanjang proses itu, kami berhubung rapat dengan keluarga kedua-dua pelajar tersebut, serta memaklumkan mereka tentang keputusan dan tindakan yang diambil mengikut rangka disiplin sekolah,” kata Encik Tan.
Menambah, beliau berkata pelajar yang cedera telah ditemani guru kelasnya ke hospital dan pelajar itu dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama.
Encik Tan juga berkata pihak sekolah telah melaksanakan pelan keselamatan untuk menyokong mangsa sejak 22 Jun.
Pelan ini termasuk memberi sokongan kaunseling dan mengehadkan interaksi antara kededua pelajar itu termasuk memindahkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin ke kelas yang lain.
Dalam satu hantaran TikTok, ibu mangsa berkata anaknya masih dihantui kejadian tersebut dan doktor mencadangkan agar mereka berjumpa dengan pakar psikiatri.
“Keadaan psikologi anak saya sangat terjejas sehinggakan beliau bermimpi tentang darah dan bercakap tentang kejadian itu hampir setiap hari,” kata ibunya kepada BH.
Kes ini menyusuli tinjauan MOE sejak Oktober 2025 bahawa ibu bapa masih bimbang tentang keupayaan sekolah untuk menangani kes kompleks dengan tepat dan adil.
Dengan dapatan itu, MOE telah mengumumkan pada 15 April bahawa semua sekolah akan mengenakan tindakan disiplin yang lebih tegas dan seragam terhadap salah laku pelajar mulai 2027.
Antara tindakan tegas atas salah laku pelajar yang diumumkan termasuk sebatan rotan, penggantungan sekolah, dan penyesuaian kepada gred tingkah laku pelajar.

