Gerai makan Al Hikmah Chicken Rice di Pasar dan Pusat Makanan Upper Boon Keng telah membuat laporan polis, menafikan dakwaan yang tular bahawa kakitangannya meletakkan ayam mentah di lantai, susulan laporan akhbar digital Stomp.
Berita Harian (BH) membuat tinjauan ke gerai itu pada 20 November dan mendapati ia masih beroperasi seperti biasa.
Laporan Stomp itu tular selepas seorang pembacanya, Encik Revathi, berkongsi beliau ternampak keadaan yang membimbangkan di gerai Al Hikmah Chicken Rice pada 12 November, 8.32 malam.
“Memang teruk,” kata pengadu, yang dikatakan tidak bertanya kepada kakitangan berkenaan atau melaporkannya kepada Agensi Makanan Singapura (SFA).
Pengurus gerai Al Hikmah Chicken Rice, Encik Mohamed Rashid Ramjan, 43 tahun, tidak berada di gerai sewaktu lawatan wartawan tetapi menjawab pertanyaan BH melalui panggilan dan jawapan bertulis melalui WhatsApp dan e-mel.
Beliau berkata kejadian tersebut bukanlah seperti yang didakwa dan menyifatkan laporan itu tidak tepat serta telah mendatangkan kerugian kepada mereka.
“Laporan polis telah dibuat untuk memastikan perkara ini direkodkan secara rasmi.
“Kami sentiasa dan akan terus mematuhi piawaian yang ditetapkan SFA dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).”
Encik Rashid menegaskan dakwaan kakitangan sengaja meletakkan ayam mentah di lantai adalah “tidak benar sama sekali”.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengadu, plastik berisi ayam sebenarnya terjatuh secara tidak sengaja daripada kotak berhampiran pintu masuk.
Gambar pertama menunjukkan sebahagian ayam berada di lantai, manakala gambar seterusnya merakamkan kakitangan sedang mengutip ayam yang jatuh — bukan menyediakannya di lantai seperti yang didakwa.
“Adalah tidak munasabah untuk mana-mana kakitangan dengan sengaja meletakkan ayam mentah di kawasan pintu masuk, tempat orang lalu-lalang,” katanya.
Beliau menambah imej yang dikongsi itu sendiri menjadi bukti kakitangan sedang membersihkan tumpahan, bukannya melakukan amalan tidak bersih.
Pengurus gerai itu turut membidas kenyataan yang didakwa daripada “gerai bersebelahan”, yang dalam laporan Stomp mendakwa kejadian itu berlaku secara berulang.
Menurutnya, kenyataan itu adalah palsu, tidak disahkan dan bersifat memfitnah.
“Kami tidak tahu siapa yang memberikan kenyataan itu dan tiada bukti dikemukakan.
“Kenyataan seperti itu boleh direka oleh sesiapa sahaja dan ia mengelirukan pembaca sehingga memberi gambaran amalan tidak bersih sering berlaku di gerai kami,” tambahnya.
Encik Rashid turut menyatakan rasa terkejut dengan penyiaran artikel yang membawa dakwaan sedemikian, apatah lagi apabila kejadian tersebut tidak disengajakan.
Mengenai siasatan pihak berkuasa, beliau memaklumkan gerai itu telah memberikan kerjasama penuh kepada SFA, termasuk menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam pada itu, SFA mengesahkan pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.
Dalam kenyataannya, SFA menegaskan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama dan semua pengendali makanan mesti memastikan amalan kebersihan baik serta premis yang bersih.
SFA menambah ia memandang serius setiap maklum balas mengenai amalan keselamatan makanan yang lemah dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika terdapat bukti kukuh.
Encik Rashid juga mengakui kejadian berkenaan memberi kesan kepada perniagaan kerana beberapa pelanggan tetap telah menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan.
“Kami berharap penjelasan ini membantu membersihkan nama kami dan memulihkan keyakinan pelanggan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg