Dari sudut-sudut tepi jalan di sepanjang Sultan Gate hinggalah ke ruang kreatif di 67 Aliwal Street, Aliwal Chess Club (ACC) telah menjadikan lokasi ini sebagai ruang pertemuan bagi masyarakat untuk berkumpul dan berkenalan menerusi permainan catur.

Bermula sebagai pertemuan santai antara tujuh orang sahabat sambil menikmati teh tarik dan bersembang, inisiatif itu akhirnya berkembang menjadi sebuah komuniti yang menghimpunkan ratusan individu daripada pelbagai latar belakang.

Namun, selepas lima tahun menjadi wadah masyarakat berkumpul dan menjalinkan persahabatan baharu, ACC bakal melabuhkan tirainya pada 21 November.

Bagi pengasasnya, Encik Muhammad Hirfan Mohammad Romzi, 27 tahun, keputusan untuk menamatkan inisiatif tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Bagi pengasasnya, Encik Muhammad Hirfan Mohammad Romzi, 27 tahun, keputusan untuk menamatkan inisiatif tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagi pengasasnya, Encik Muhammad Hirfan Mohammad Romzi, 27 tahun, keputusan untuk menamatkan inisiatif tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. - Foto ACC

“Setelah bertahun-tahun mencurahkan masa dan tenaga untuk membangunkan komuniti itu, saya rasa sudah tiba masanya untuk melepaskannya dan memberi peluang kepada orang lain untuk meneruskan semangat yang sama,” katanya kepada Berita Harian.

ACC pada asalnya tidak pernah dirancang sebagai sebuah kelab catur.

“Pada dasarnya, saya memang suka berkenalan dan bertemu orang baharu.

“Sejak awal lagi, tumpuan saya lebih kepada membina sebuah komuniti, bukannya menubuhkan sebuah kelab catur.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Kebetulan, catur menjadi medium yang kami gunakan untuk mempertemukan orang ramai,” katanya yang mula meminati catur daripada sebuah projek seni semasa di sekolah menengah, sebelum seorang rakan mengajaknya mempelajari permainan itu.

Pertemuan mereka di sekitar Sultan Gate kemudian menarik perhatian orang yang lalu-lalang, sehingga semakin ramai menyertai sesi tersebut.

“Bila kita lihat sambutan meningkat, saya cuba mendapatkan kerjasama dengan beberapa kafe dan perniagaan tempatan, termasuk Huggs Coffee dan Rumi di Arab Street, bagi menjadikan pertemuan itu lebih mudah diakses,” tambahnya yang merupakan seorang ahli strategi kreatif.

ACC bukan sahaja memperkenalkan permainan catur kepada khalayak lebih luas, malah membantu membawa pengunjung ke premis perniagaan tempatan dan membuka peluang kepada golongan kreatif untuk memperkenalkan bakat masing-masing.

“Bagi saya, sebuah komuniti tidak seharusnya berkembang secara bersendirian, sebaliknya turut mewujudkan peluang dan manfaat kepada pihak lain yang menjadi sebahagian daripada ekosistemnya,” katanya lagi.

Seiring dengan perkembangannya, ACC tidak lagi terhad kepada permainan catur konvensional.

ACC memperkenalkan pelbagai konsep kreatif, termasuk permainan catur dengan pencahayaan neon, aktiviti catur di festival serta konsep food chess yang menggunakan makanan sebagai pengganti buah catur tradisional.

Selain menarik golongan muda berusia awal 20-an, ACC berkembang menjadi ruang pertemuan merentas generasi yang turut disertai kanak-kanak, ibu bapa dan warga emas.

Selain menarik golongan muda berusia awal 20-an, ACC akhirnya berkembang menjadi ruang pertemuan merentas generasi yang turut disertai kanak-kanak, ibu bapa dan warga emas. 
Selain menarik golongan muda berusia awal 20-an, ACC akhirnya berkembang menjadi ruang pertemuan merentas generasi yang turut disertai kanak-kanak, ibu bapa dan warga emas.  - Foto ACC

Pertemuan catur ACC biasanya mampu menarik sekitar 50 hingga 60 orang, manakala acara World Chess Day terbesar yang dianjurkan ACC pernah menghimpunkan hampir 900 pengunjung.

Bagi anggota ACC, Cik Nur Adlyna Faizal, daya tarikan komuniti itu bukan sekadar permainan catur.

Beliau mengenali ACC sejak 2024 berkata ACC menjadi ruang selamat untuk berehat, bertemu rakan dan menjadi diri sendiri tanpa rasa takut dihakimi.

“Selain membina persahabatan jangka panjang, komuniti ini juga membuka peluang kepada golongan kreatif untuk meneroka minat dan membina kerjaya.

“Saya sendiri mendapat pekerjaan sebagai editor video melalui ACC,” katanya.

Malah baginya, penutupan ini menandakan berakhirnya satu era yang menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya.

“Sukar untuk menemui sebuah komuniti yang begitu baik hati dan menerima semua orang seperti ACC.

“Ia telah menjadi ruang selamat bagi saya, serta sesuatu yang saya nantikan setiap bulan untuk berehat dan meluangkan masa bersama rakan-rakan.

“Walaupun penutupan ini tidak dapat dielakkan, saya tetap bersyukur atas segala kenangan yang tercipta dan akan terus saya kenang untuk tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Menurut Encik Hirfan, beliau telah mempertimbangkan penutupan ACC sejak tahun lalu apabila komitmen kehidupan semakin berubah.

Kumpulan sahabat yang memulakan inisiatif itu kini mempunyai tanggungjawab masing-masing, manakala beliau sendiri perlu mengimbangi kerjaya sepenuh masa dengan urusan peribadi.

Masa yang diperlukan untuk menguruskan pertemuan hujung minggu semakin sukar diperuntukkan.

Cabaran kewangan turut menambah tekanan, meskipun ACC memperoleh pendapatan melalui acara tempahan, kerjasama komersial dan projek kreatif.

Beliau turut menyifatkan kekurangan sokongan kewangan dan institusi sebagai antara cabaran yang dihadapi inisiatif akar umbi seperti ACC untuk terus bertahan.

Seiring dengan perkembangan ACC, keperluan dan jangkaan pengunjung turut berubah.

“Apabila ACC semakin dikenali, semakin ramai yang datang dengan tujuan utama untuk bermain catur, berbeza daripada matlamat asal yang mahu mewujudkan ruang untuk masyarakat berinteraksi, menyumbang dan membina hubungan,” ujarnya.

Walaupun ACC bakal berakhir, beliau berharap penutupan itu tidak menandakan penghujung gerakan catur jalanan di Singapura.

Kini, beliau merancang menghasilkan sebuah panduan atau blueprint untuk membantu mereka yang berminat memulakan komuniti catur jalanan sendiri.

Namun, beliau berharap individu lain tidak sekadar mengambil alih nama ACC, sebaliknya membina identiti dan komuniti mereka sendiri.

Baginya, kejayaan sesebuah komuniti bukan semata-mata diukur melalui berapa lama ia bertahan, tetapi juga individu yang mendapat manfaat daripadanya dan mereka yang mendapat inspirasi untuk melakukan perkara serupa.

“Saya harap semangat yang dibina akan terus hidup melalui komuniti baharu yang tercetus daripada mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada ACC,” akhirinya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti