Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak 10 tahun jadi ‘bos’, bantu bapa bangun aplikasi belajar bahasa Melayu
Anak 10 tahun jadi ‘bos’, bantu bapa bangun aplikasi belajar bahasa Melayu
Apabila Encik Razil Zulkarnain Taha menyedari anaknya yang berusia 10 tahun, Muhammad Ihsan Razil, menghadapi kesukaran dalam pembelajaran bahasa Melayu, jurutera perisian itu mereka Kancil.
Kancil merupakan sebuah aplikasi pembelajaran bahasa Melayu berasaskan permainan yang direka untuk menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan bagi murid sekolah rendah tanpa bergantung pada buku teks dan lembaran kerja sepenuhnya.
“Di rumah, kami lebih banyak berbual dalam bahasa Inggeris, jadi keadaan itu tidak banyak membantu penguasaan Bahasa Melayu Ihsan.
“Sampai satu tahap, saya perasan bahasa Melayunya semakin merosot,” kata Encik Razil, 41 tahun, ketika dihubungi Berita Harian.
Diilhamkan daripada watak cerita rakyat Melayu, Sang Kancil, aplikasi itu berpandukan sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah Kementerian Pendidikan (MOE), dengan kandungannya turut disemak secara tidak formal oleh guru-guru Bahasa Melayu bagi memastikan ketepatan dan kesesuaiannya.
“Saya merujuk kepada sukatan pelajaran yang ditetapkan MOE untuk sekolah rendah ketika membangunkan Kancil. Setiap soalan disemak berdasarkan sukatan tersebut, dengan beberapa model AI menyemak silang antara satu sama lain.
“Selain itu, saya sendiri turut menyemak kandungannya, bersama ahli keluarga dan rakan-rakan guru Bahasa Melayu yang sering saya hubungi untuk mendapatkan komen dan maklum balas,” katanya.
Aplikasi itu merangkumi kandungan Darjah 1 hingga Darjah 6, dengan setiap pelajaran disusun melalui dialog, aktiviti ringkas, kuiz dan halaman komik yang diharapkan dapat memupuk minat membaca.
Murid juga perlu menempuh cabaran berupa pertarungan menentang bos, Sang Buaya, dengan menjawab soalan dengan betul untuk membantu Kancil menyeberangi sungai yang dipenuhi buaya.
Topik yang lebih mencabar, seperti tatabahasa dan penulisan karangan, dipecahkan kepada latihan yang lebih kecil agar lebih mudah difahami dan sesuai dengan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.
“Setiap pelajaran yang diselesaikan akan memberikan ganjaran berupa syiling maya, yang boleh ditukarkan kepada masa penggunaan skrin mengikut kadar yang ditetapkan oleh ibu bapa,” tambahnya.
Namun, Ihsan bukan sekadar inspirasi di sebalik penciptaan Kancil.
Sebagai kanak-kanak yang sudah biasa bermain permainan popular seperti Minecraft dan Brawl Stars, Ihsan memainkan peranan sebagai ‘pengarah kreatif’ yang membantu bapanya menguji dan menilai sama ada sesuatu ciri itu benar-benar menarik dan sesuai untuk golongan seusianya.
“Ihsan bos saya, pengarah kreatif dan penasihat strategik saya.
“Saya yang membangunkan aplikasi itu, dia yang bermain, dan kemudian dia beritahu saya apa yang tidak kena dan mencadangkan apa yang perlu diperbaiki. Selepas itu, saya akan membuat perubahan atau membaikinya,” kata Encik Razil.
Malah antara perubahan yang diperbaiki termasuk menambahkan panduan dalam bahasa Inggeris di samping arahan Bahasa Melayu sekali gus mengubah animasi kartun dan suara watak agar lebih menarik dan sesuai.
“Saya berasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada proses menghasilkan sebuah aplikasi. Ini merupakan pencapaian besar dalam hidup saya,” kata Ihsan.
Encik Razil turut berharap Kancil dikembangkan bagi memenuhi keperluan khalayak yang lebih luas serta menjalin kerjasama rasmi dengan MOE pada masa hadapan bagi memastikan kandungan aplikasi itu terus selaras dengan kurikulum sekolah.
Bagaimanapun, baginya kejayaan Kancil tidak semestinya diukur berdasarkan pencapaian akademik atau keupayaan murid memperoleh gred cemerlang semata-mata
Malah, diharapkan aplikasi itu dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, walaupun sedikit, sambil memupuk penghargaan mereka terhadap bahasa dan budaya Melayu.
“Kalau Kancil dapat membantu mereka walaupun hanya 10 peratus, dan membuat mereka lebih menghargai budaya Melayu, bagi saya itu sudah satu kejayaan. Bermula dengan anak saya sendiri pun sudah memadai. Apa-apa yang lebih daripada itu ialah satu bonus,” katanya.
Baginya, usaha membangunkan Kancil turut mencerminkan pandangannya tentang penggunaan peranti digital dalam kalangan kanak-kanak.
Persoalannya bukan sekadar berapa lama mereka menghabiskan masa di hadapan skrin, tetapi bagaimana masa itu digunakan.
Melalui Kancil, beliau berharap masa skrin dapat dimanfaatkan untuk sesuatu yang lebih bermakna, sekali gus menjadikan pembelajaran bahasa Melayu lebih menyeronokkan dan dekat dengan kehidupan kanak-kanak.
Sebelum ini, Encik Razil merupakan seorang pereka permainan video dan juga pernah membangunkan HalalSnap, aplikasi mudah alih berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan penilaian status halal hanya dengan merakam gambar produk.