Suasana makan malam santai di rumah ahli politik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mencuit hati apabila dua anak tirinya menyambut Menteri Pendidikan Singapura, Encik Desmond Lee, dengan hanya berbaju tidur.

Dalam video yang dikongsi di Facebook pada 16 Oktober, anak-anak tiri Syed Saddiq – Mohamad Ayden Adrean Mohammad Aliff, sembilan tahun, dan Ara Adreanna Mohammad Aliff, enam tahun – dilihat bersalaman dengan Encik Lee sebelum bergambar bersama beliau.

Encik Lee, yang mengenakan kemeja batik biru putih, turut mencuit hati apabila berjabat tangan dengan kedua-dua kanak-kanak itu secara serentak menggunakan gaya bersalaman Persatuan Negara Asia Tenggara (Asean).

Pada penghujung video, Syed Saddiq kedengaran berseloroh meminta maaf kerana Ayden dan Ara berpakaian lebih santai berbanding tetamu mereka, Encik Lee.

Menurut kapsyen hantaran Syed Saddiq, sesi makan malam itu diadakan kerana Encik Lee tidak dapat menghadiri majlis resepsi perkahwinan beliau bersama Bella Astillah yang difahamkan bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 Oktober.

Ini akan diikuti majlis terbuka di Muar, Johor, pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober.

Pasangan itu sah bergelar suami dan isteri di majlis akad nikah di Aras 118 Menara Merdeka Maybank di Kuala Lumpur pada 10 Oktober.

Syed Saddiq berkata beliau mengundang Encik Lee untuk makan malam bersama keluarganya, sambil berseloroh menyifatkan perbualan mereka mengenai politik, pendidikan dan keluarga sebagai satu “mesyuarat dua hala”.

“Untuk ‘mesyuarat dua hala ini’ ini, saya membawa (aset) terbaik dari Malaysia: seorang guru yang sudah sangat senior tetapi berjiwa muda (iaitu ibu saya), serta dua orang anak kecil yang berperangai seperti orang dewasa – Ayden dan Ara!” seloroh Syed Saddiq.

Selain menikmati suasana santai bersama keluarga, Syed Saddiq berkata beliau turut menghargai perkongsian Encik Lee mengenai sistem pendidikan Singapura yang menurutnya boleh dijadikan teladan oleh Malaysia.

“Singapura mempunyai salah satu sistem pendidikan terbaik di dunia.

“Mendengar beliau berbicara, saya faham mengapa.

“Banyak yang Malaysia boleh belajar demi masa depan anak-anak kita,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee kerana meluangkan masa bersama keluarganya.