Dikenali sebagai seorang yang pemalu, ramai mungkin tidak akan menyangka Nurul Aleesya Irwan sebenarnya mampu tampil penuh yakin dan bertenaga di lantai tarian ballroom dengan sukan dansa atau Dancesport.

Sejak berusia sembilan tahun, Aleesya mula menceburi sukan dansa menerusi aktiviti kokurikulum (CCA) di Sekolah Rendah Edgefield, sebelum mengembangkan bakatnya dengan menyertai sebuah kelab sukan dansa untuk menjalani latihan yang lebih intensif dan menyertai pertandingan di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Sejak itu, anak kedua dalam tiga adik-beradik itu telah menyertai enam pertandingan sejak 2024, termasuk di Hong Kong, dan berjaya meraih beberapa pingat meskipun berdepan penari yang lebih berpengalaman.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Aleesya sama sekali tidak sangka minatnya ialah terhadap sukan dansa.

“Kali pertama saya betul-betul minat terhadap sukan dansa ini ialah ketika saya melalui percubaan CCA semasa Darjah Tiga. Sukan dansa kelihatan unik, tidak seperti tarian Melayu, Cina ataupun tarian moden yang pernah saya lihat,” katanya yang berusia 12 tahun.

Dancesport merupakan tarian ballroom dan Latin secara kompetitif, yang menggabungkan seni tarian dengan ketangkasan sukan.

Bermula tanpa sebarang pengalaman atau latihan tarian formal, Aleesya, yang mempunyai kekuatan dalam tarian ‘Jive’, kemudian mengembangkan bakatnya dengan menyertai kelab sukan dansa selepas terlibat dalam persembahan Chingay pada usia 10 tahun.

Walaupun pernah pulang tanpa sebarang kemenangan dalam pertandingan luar negara pertamanya dan menangis kerana kecewa, pengalaman tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri.

Tahun ini, Aleesya mencatat pencapaian terbesarnya apabila muncul sebagai juara bagi kategori tarian ‘Jive’, naib juara bagi tarian ‘Cha-Cha’ dan tempat ketiga dalam acara campuran di sebuah pertandingan di Hong Kong.

Meskipun sedang mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), sikap matangnya dalam mengimbangi masa untuk sukan dan akademik mengagumkan.

“Sebenarnya sukan dansa banyak mengajar saya tentang disiplin dan ketekunan. Ia juga dapat membantu saya membina keyakinan diri,” tambah Aleesya yang tetap berazam untuk meneruskan penglibatannya dalam sukan dansa di peringkat antarabangsa pada masa hadapan, selain bercita-cita menambah koleksi pingat.

Malah, keyakinan Aleesya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ibu bapa dan adik beradiknya juga cenderung ke arah seni.

Ibunya, Cik Azrina Ahmad turut akui tidak menyangka anaknya itu mempunyai bakat dalam sukan dansa kerana dikatakan Aleesya lebih menyerlah dalam bidang nyanyian ketika kecil.

Cik Azrina, 44 tahun, akui pada mulanya menganggap pujian suaminya, Encik Irwan Abdul Rahman, terhadap persembahan pertama Aleesya sekadar kebanggaan seorang bapa.

Namun selepas menyaksikan sendiri persembahan anaknya, beliau mula menyedari potensi yang dimiliki Aleesya.

“Jurulatih Aleesya juga pernah menyifatkannya sebagai seorang yang mempunyai bakat semula jadi dan mampu berkembang dengan cepat apabila diberikan latihan yang sesuai,” kata pengurus pejabat dan acara itu.

Latar belakang keluarga yang dekat dengan dunia seni turut memainkan peranan dalam menyokong minat Aleesya.

Bapanya pernah menganggotai kumpulan pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF), manakala ibunya merupakan bekas penyanyi bersama Live Records yang aktif dalam persembahan amal.

Sebagai ibu bapa, mereka memilih untuk memberi ruang kepada anak-anak meneroka minat dan bakat masing-masing, selain memberi tumpuan kepada pencapaian akademik.

“Saya mahu anak-anak belajar lebih banyak tentang kehidupan dan mengembangkan bakat mereka, bukan hanya fokus kepada pelajaran semata-mata,” katanya.