Bapa bertukang pedang rotan, lestari seni pencak Bawean
Ambil inisiatif sendiri cari kaedah, teknik hasilkan pedang serupa seperti yang pernah digunakan
Peminat seni tradisional Bawean, Encik Zazali Shahwan, mendapati kian sukar mendapatkan pedang rotan bagi permainan pencak pedang.
Usahanya mencari individu yang boleh menghasilkan pedang tersebut di Singapura menemui jalan buntu kerana kebanyakan pembuat pedang sudah lanjut usia, uzur atau telah meninggal dunia.
Mujur, beliau masih mempunyai pedang lama yang boleh dirujuk dan dijadikan contoh.
Lantas, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mencari kaedah dan teknik bagi menghasilkan pedang yang serupa dengan pedang yang pernah digunakannya sebelum ini.
Dalam satu video selama 26 saat, Encik Zazali dilihat dalam proses menciptakan sebilah pedang Bawean – sejenis pedang rotan tradisional yang lazim digunakan dalam seni pencak Bawean di Singapura.
Encik Zazali, 59 tahun, telah menghasilkan pedang itu sejak sekitar dua bulan lalu, pada November 2025.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), anak bongsu Encik Zazali, Cik Nur Farhanah Zazali, 29 tahun, berkata pedang rotan mula mendapat sambutan rancak sekitar 1940-an berikutan kekurangan bekalan pedang besi ketika itu.
“Mereka beralih kepada penggunaan pedang rotan kerana ia mudah diperoleh, dilentur, selain kukuh dan boleh tahan lama.
“Pencak pedang atau pencak Bawean kemudian berkembang sebagai satu budaya popular dalam kalangan masyarakat Bawean.
“Ia merupakan bentuk seni dalam amalan pencak silat Bawean dan membentuk identiti budaya utama masyarakat ini.
“Pencak pedang dipersembahkan pada setiap majlis perkahwinan, sambutan Maulud dan upacara khatan. Ia juga kadangkala dipersembahkan bersama seni Bawean yang lain seperti jibul, mandiling, korcak dan samrah,” ujar Cik Farhanah, yang juga merupakan jurulatih kanan kumpulan silat Seligi Tunggal Singapura.
Pedang-pedang yang dihasilkan Encik Zazali kini digunakan terutamanya oleh kumpulan silat kendalian Cik Farhanah.
Namun, Cik Farhanah berkongsi bahawa penjualan pedang-pedang tersebut juga dibuka kepada orang awam, jika ada pembeli yang berminat.
Pedang rotan biasanya mengambil masa lima hingga enam jam untuk dihasilkan, bergantung pada ‘usia’ rotan tersebut.
Biasanya rotan lebih tua lebih tegar dan mengambil lebih masa untuk membentuknya.
Bahan mentah untuk membuat pedang tersebut didapatkannya di sebuah gedung di Sungei Kadut, yang turut membekalkan rotan ke merata dunia.
Menurut Cik Farhanah, proses membuat pedang tersebut bermula dengan merendamkan rotan sebelum dikeringkan, lalu dibelah menggunakan parang mengikut ketebalan yang diingini.
Seterusnya, rotan itu diraut atau dibentuk mengikut rupa pedang yang hendak dihasilkan.
Akhirnya, pedang tersebut disapu varnis bagi menyalut dan melindungi kayu daripada melengkung serta reput.
Apabila ditanya tentang pewaris yang boleh meneruskan warisan ini, Cik Farhanah menzahirkan kebimbangannya kerana kini agak sukar untuk mendapatkan pembuat pedang rotan.
“Mungkin abang saya (boleh jadi pewaris). Abang saya juga boleh menyiapkan kulit gendang dan membaiki gendang. Selain itu, dia juga ahli penyolek tanjak tradisional.
“Orang yang kami kenali pun mereka tak buat lagi kerana sukar nak mendapatkan stok rotan,” tambahnya.
“
“Pencak pedang atau pencak Bawean berkembang sebagai satu budaya popular dalam kalangan masyarakat Bawean. Ia merupakan bentuk seni dalam amalan pencak silat Bawean dan membentuk identiti budaya utama masyarakat ini.”
