Bagi Encik Noor Hazlin Razali, perjalanan kembali ke alam pendidikan bukan sekadar tentang mengejar sijil, tetapi membuktikan kepada diri sendiri bahawa usia bukan penghalang untuk terus belajar dan berkembang.

Encik Hazlin, 52 tahun, kini mencatat satu lagi pencapaian apabila baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian Diploma Kepakaran dalam Pengurusan dan Perkhidmatan Penerbangan secara sambilan di Politeknik Republic (RP) pada 5 Mei.

Ini merupakan diploma kedua diraih bapa kepada dua anak remaja itu, setelah beliau menamatkan pengajian Diploma dalam Kejuruteraan (Pengurusan Penerbangan) di Politeknik Temasek (TP) secara sambilan pada 2020.

Menjelaskan keputusannya untuk kembali ke bangku sekolah buat kali pertama sejak awal 1990-an, Encik Hazlin, memberitahu Berita Harian (BH):

“Walaupun saya ada pengalaman kerja hampir 30 tahun, saya rasa perlu ada sijil untuk sahkan pengetahuan saya.

“Pada masa yang sama, saya mahu buktikan pada diri sendiri bahawa saya juga boleh berjaya dalam pelajaran setelah mengabaikannya ketika zaman remaja dulu.”

Beliau mengakui pada zaman mudanya, pelajaran bukan keutamaan, dan keputusan GCE Peringkat ‘O’ yang sekadar “cukup makan” membawanya ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), sebelum beliau berhenti pengajian untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Perjalanannya untuk memburu diploma pertama bermula pada 2017 apabila seorang rakan memaklumkannya tentang program diploma sambilan yang baru diperkenalkan di TP.

Menurut Encik Hazlin yang merupakan pegawai kanan di Changi Airport Group (CAG), beliau merupakan sebahagian daripada kohort pelajar pertama yang mengikuti jurusan tersebut.

Beliau kini bertugas sebagai pelatih dan bertanggungjawab melatih pekerja lain cara memandu dengan selamat di jalan rayap (taxiway) lapangan terbang – laluan digunakan pesawat untuk bergerak dengan perlahan.

Encik Hazlin, yang menyertai CAG pada 1997, berkata proses mendapatkan Diploma Kepakaran itu telah melatihnya berfikir secara analitikal dan menyusun idea seperti seorang jurutera.

Namun, pelbagai cabaran menantinya sebaik sahaja beliau melangkah kembali ke bilik darjah.

Antara yang paling mencabar baginya adalah menyesuaikan diri apabila berdepan kesukaran dalam modul seperti khidmat pelanggan, yang memerlukan pendekatan lembut apabila berinteraksi dengan orang awam di lapangan terbang.

“Cara perbualan untuk modul ini bertentangan dengan gaya tegas yang diamalkan saya dalam tugas penguatkuasaan di kawasan lapangan terbang.

“Saya kena buang ego dan belajar daripada rakan kelas lain, walaupun usia mereka jauh lebih muda,” katanya.

Selain itu, Encik Hazlin berkata beliau perlu membiasakan diri menulis tugasan akademik yang panjang, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Dalam menghadapi cabaran tersebut, beliau tidak segan untuk bertanya dan mendapatkan bantuan.

“Bak pepatah Melayu, ‘malu bertanya, sesat jalan’.

“Saya selalu ingatkan diri, kalau kita tak tahu, kita tanya, jangan buat andaian.

“Sebab dalam kerja saya pun, silap buat andaian boleh bawa padah,” ujarnya, menekankan bahawa keselamatan adalah keutamaan ketika bekerja di jalan rayap.

Ketika menjalani pengajian diploma keduanya, Encik Hazlin turut mewakili kontinjen OneChangi dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 dan perlu menjalani latihan selama 16 hujung minggu.

Namun, beliau tetap mengetepikan masa setiap Ahad untuk meluangkan masa bersama keluarga, terutama isterinya yang menjadi sumber sokongan kuat sepanjang beliau meneruskan pengajian diploma.

Kini, selepas berjaya meraih dua diploma, semangat Encik Hazlin untuk terus belajar masih menyala.

Menurutnya, beliau berhasrat mengikuti Sijil Lanjutan bagi Pembelajaran dan Prestasi (ACLP) yang ditawarkan Institut Pembelajaran Dewasa (IAL) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Beliau turut tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian ke peringkat ijazah secara sambilan pada masa hadapan.

“Bagi saya, pembelajaran adalah satu perjalanan yang tiada penghujung.

“Pembelajaran ibarat enjin. Kalau kita berhenti, kita akan ketinggalan,” terangnya.

Pada hari sama Encik Hazlin menerima diploma keduanya, beliau memuat naik gambar majlis tamat pengajiannya di Facebook, yang setakat ini menerima lebih 400 tanda reaksi dan lebih 150 komen yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Beliau berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada orang lain, khususnya mereka yang merasakan sudah terlambat untuk kembali belajar.

“Jangan beri alasan usia atau kewangan sebab banyak bantuan yang ada seperti SkillsFuture dan dermasiswa dari pelbagai badan Melayu/Islam.

“Kita tidak perlu bandingkan diri dengan orang lain, tetapi sebaliknya fokus pada apa yang kita minat dan boleh buat,” nasihat Encik Hazlin.