Belia S’pura yang ada autisme jadi imam solat subuh di Makkah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia S’pura yang ada autisme jadi imam solat subuh di Makkah

Berjaya bergelar ‘hafiz’ pada usia 19 tahun
Mar 19, 2026 | 4:36 PM

Belia S’pura yang ada autisme jadi imam solat subuh di Makkah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Adyan Mohammed Raziff berpeluang menjadi imam kepada jemaah sewaktu solat subuh ketika berada di sebuah masjid di Makkah.
Encik Adyan Mohammed Raziff berpeluang menjadi imam kepada jemaah sewaktu solat subuh ketika berada di sebuah masjid di Makkah. - Foto INSTAGRAM ADYAN__ALHAMIDI

Alunan suara merdu yang memimpin solat subuh berjemaah di sebuah masjid di Makkah pada 13 Mac lalu, rupa-rupanya milik seorang anak muda Singapura, Encik Adyan Mohammed Raziff, 19 tahun, yang sedang menunaikan umrah di sana.

Apa yang lebih menyentuh hati, Encik Adyan membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang apabila beliau, yang disahkan menghidap autisme, mampu menggalas tanggungjawab besar itu dengan begitu sempurna.

Ketika Berita Harian (BH) menghubungi Encik Adyan pada 18 Mac, beliau masih berada di Arab Saudi kerana sedang menunaikan umrah bersama keluarganya secara sendiri (DIY). 

Beliau menceritakan bagaimana peluang untuk mengimamkan jemaah datang secara kebetulan.

“Saya tidak turun ke Masjidil Haram pada pagi itu kerana masih kepenatan daripada menunaikan umrah pada malam sebelumnya, jadi saya membuat keputusan untuk solat subuh dalam masjid di hotel kami yang terletak lebih kurang dua kilometer dari Masjidil Haram,” kongsi beliau.

Detik itu dirakam dan dikongsikan ayahnya, Encik Raziff Hamid.

Video yang dimuat naik di akaun Instagram @adyan_alhamidi sudah ditonton lebih 18,000 kali.

View post on Instagram
 

“Saya datang 30 minit lebih awal, dan setelah azan dilaungkan, ada yang menanya, siapa yang ingin menjadi imam, jadi saya angkat tangan,” kata Encik Adyan, seorang anak tunggal yang telah didiagnos dengan autisme berfungsi tinggi pada usia 15 tahun.

Meskipun beliau menyifatkan dirinya ‘neurodivergent’ iaitu otak beliau berfungsi mengikut cara berbeza berbanding individu neurotipikal atau biasa, tetapi dedikasinya dalam mendalami Islam tetap teguh. 

“Saya rasa berbeza, saya tidak berfikir seperti orang lain,” kongsi beliau.

Encik Adyan menjelaskan bahawa walaupun keadaannya mempengaruhi interaksi sosial, ia telah menguatkan fokusnya terhadap Al-Quran.

Kini, Adyan mengikuti Diploma Pengajian Islam di Institut Tinggi Pengajian Al-Zuhri yang dimulakan sejak 2024.

Perjalanan beliau dalam bidang agama bermula dengan guru mengajinya, Ustaz Zahil Zakaria, yang juga pernah menjadi imam di Timur Tengah.

Ini diteruskan melalui bimbingan peribadi di Singapura.

Walaupun menjalani pendidikan sekular, minat beliau terhadap Islam terus mekar sehingga beliau berjaya bergelar seorang hafiz (orang yang menghafal seluruh Al-Quran) pada usia 19 tahun.

“Saya baru selesai menghafal Al-Quran tahun ini, dan saya berharap untuk mendapatkan sijilnya setelah menduduki peperiksaan rasmi,” kata Encik Adyan yang berpeluang menunaikan umrah dalam bulan Ramadan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024. 

Pengalaman menjadi imam di masjid itu, walaupun singkat, amat bermakna baginya. 

“Setiap imam pasti bermimpi untuk solat di Masjidil Haram, untuk dapat melihat imam ketika solat. Itu adalah matlamat saya,” ujarnya penuh harapan.

Apabila ditanya sama ada beliau menanamkan cita-cita untuk menjadi imam di Masjidil Haram satu hari nanti, beliau dengan rendah diri berkata ia “hampir mustahil”.

Ini memandangkan antara syarat menjadi imam di situ ialah individu tersebut perlu menjadi warga negara Arab Saudi, selain memiliki hafazan Al-Quran, kelulusan akademik dalam bidang pengajian Islam, syariah atau ilmu forensik.

“Tetapi, Allahu Alam (Allah lebih mengetahui), kalau itu yang tertulis, tentunya saya mahu,” tambahnya.

Menurut Encik Adyan, kali pertama beliau menjadi imam ialah ketika umurnya baru 15 tahun. 

“Pengalaman saya yang pertama adalah di Masjid Jamek, Queenstown. Tentu saya rasa sedikit gementar, tetapi Alhamdulillah saya dapat melakukannya,” kata Encik Adyan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai imam sambilan di Masjid Wak Tanjong dan beberapa masjid lain di serata Singapura. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg