Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersarung baju tradisional Melayu sambil memanah di pentas dunia
Noor Zayanah Hamis merupakan satu dari enam atlet pemanah wakili S’pura di Sukan Nomadik Dunia 2026 di Kyrgyzstan
Bersarung baju tradisional Melayu sambil memanah di pentas dunia
Apabila menyebut tentang baju tradisional Melayu, Hari Raya dan majlis perkahwinan mungkin antara perkara pertama yang terlintas di fikiran.
Namun, bagi Cik Noor Zayanah Hamis, baju tradisional menjadi sebahagian daripada penampilannya ketika memanah di Sukan Nomadik Dunia 2026, yang memaparkan sukan seperti menunggang kuda dan tarik tali.
Beliau bersama sembilan lagi wakil Singapura telah terbang ke Kyrgyzstan dari 31 Ogos hingga 6 September untuk temasya sukan dwitahunan tersebut.
Dalam rombongan tersebut, dua merupakan pengadil untuk sukan memanah, dua merupakan atlet kategori ‘Strongman’ yang menguji kekuatan fizikal dan daya tahan atlet dengan objek berat, dan enam, termasuk Cik Zayanah, menentang dalam sukan memanah tradisional.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Zayanah, 32 tahun, berkata memang menjadi kebiasaan untuk atlet mengenakan baju tradisional mereka untuk pertandingan tersebut demi menunjukkan semangat sukan tradisional.
Mereka merupakan antara lebih dari 3,000 peserta dari 109 negara yang bertanding untuk menggapai pingat untuk negara mereka.
Cik Zayanah juga berkongsi bahawa minat untuk mencuba sukan memanah tradisional berputik apabila beliau terlihat gambar di laman Instagram rakannya yang merupakan atlet sukan tersebut.
Dari situ, beliau memberanikan diri untuk menghadiri kursus pengenalan memanah yang dikendalikan Pemanah Tradisional Singapura pada 2024.
Namun, beliau tidak menyangka berpeluang mewakili Singapura dalam tempoh yang begitu singkat, memandangkan beliau masih baru dalam sukan itu dan sedang mengasah kemahirannya.
“Saya sangat bersyukur atas peluang ini kerana jurulatih saya sering menggalak kami untuk bertanding.
“Kadang kala saya rasa kurang yakin atau ragu-ragu tetapi mereka selalu memberi semangat untuk saya mencuba dan dari situ, saya dapat mencuba pengalaman baharu yang membina kemahiran saya,” kata Cik Zayanah.
Walaupun pernah menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) memanah semasa di maktab rendah pada 2011 dan 2012, beliau berkata sukan memanah tradisional sangat berbeza.
Menurut Cik Zayanah, sukan memanah tradisional menggunakan busur kayu dan anak panah tradisional yang diperbuat dari kayu.
“Semasa di pertandingan itu, saya berpeluang melihat busur kayu yang pelbagai dan diilhamkan budaya serata dunia seperti Scotland, Ireland, dan Mongolia,” kongsi Cik Zayanah yang juga merupakan seorang penyelidik biomedikal sepenuh masa.
Menurutnya, peralatan tradisional tidak menggunakan sebarang alat tambahan seperti batang sambungan untuk memanjangkan busur, penstabil untuk mengurangkan pergerakan busur, serta alat bidikan yang membantu pemanah menyasarkan sasaran.
Justeru, Cik Zayanah berkata sukan itu menguji kebolehan dan naluri pemanah yang tidak berlandaskan sebarang peralatan.
Mengulas tentang latihannya menjelang pertandingan itu, beliau berkata mereka berlatih sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selepas kerja di beberapa ruang memanah, termasuk ruang Pemanah Tradisional Singapura yang terletak di Pasir Ris.
“Selain melatih teknik, latihan memanah juga merangkumi pembangunan akhlak dan menggalak kami bermuhasabah dan merenung tentang diri sendiri,” ujarnya.
Sejak berjinak dalam sukan tersebut, Cik Zayanah juga berkata beliau dapat melihat peningkatan dalam keyakinan diri sendiri atas bimbingan jurulatihnya.
Bagi kategori memanah di temasya sukan itu, tiga acara dipertandingkan berdasarkan jarak sasaran, iaitu 40 meter, 60 meter dan 145 meter, yang kesemuanya disertai Cik Zayanah.
Meskipun tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat, Cik Zayanah tidak menganggap penyertaannya dalam ketiga-tiga acara itu sebagai sesuatu yang sia-sia, sebaliknya peluang untuk menimba pengalaman baharu di pentas antarabangsa.
Satu lagi acara yang dipertandingkan ialah memanah sambil menunggang kuda mengelilingi halangan di kawasan pertandingan.
Menurut Cik Zayanah lagi, beliau kini sedang menjalani latihan untuk memanah sambil menunggang kuda.
“Saya berharap dapat terus mengasah kemahiran dan teknik saya kerana saya suka bertanding dan ingin memperbaiki diri saya.
“Lebih khusus lagi, saya harap dapat menerapkan kededua memanah sambil berdiri dan menunggang kuda dalam latihan dan melihat sejauh mana saya boleh pergi dengan latihan demikian,” tambah Cik Zayanah.

