‘Bila nak ada anak?’: Cara jawab soalan ‘pedas’ dengan berhemah Hari Raya nanti
‘Bila nak ada anak?’: Cara jawab soalan ‘pedas’ dengan berhemah Hari Raya nanti
Isteri penyanyi Taufik Batisah, Cik Sheena Akbal kupas isu secara terbuka
Pengalaman beraya sememangnya tidak lengkap tanpa kehadiran soalan-soalan yang janggal, terlalu peribadi atau ‘pedas’ ketika berkumpul bersama keluarga serta kenalan.
Justeru, timbul persoalan yang sering menjadi kebimbangan ramai - bagaimana untuk menjawabnya dengan baik tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Interaksi yang sensitif ini kini dilihat sebagai satu pengalaman sosial yang tiap-tiap tahun menjadi topik perbincangan setiap kali Aidilfitri menjelma.
Pempengaruh tempatan, Cik Sheena Akbal, atau lebih dikenali sebagai isteri penyanyi Taufik Batisah, baru-baru ini mengulas perkara tersebut secara terbuka di platform TikTok miliknya mengenai bagaimana beliau akan berdepan dengan pertanyaan mencabar daripada orang lain semasa sambutan Hari Raya.
Video yang dimuat naik pada 18 Mac itu menyentuh soalan yang sering diajukan, khususnya tentang “bila nak ada anak”, sekali gus memberikan perspektif yang dekat dengan realiti ramai dalam mengendalikan situasi tidak selesa.
Meraih lebih 22,300 tontonan, ruangan komen video itu turut dibanjiri pandangan netizen yang berkongsi pengalaman serupa.
Menyentuh isu tersebut, beliau berseloroh:
“Kalau budak boleh ditanam macam pokok, saya dah lama petik sepuluh. Bukannya kami tidak usaha.”
Cik Sheena, telah mendirikan rumah tangga bersama Taufik sejak 2015 namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Beliau turut berkongsi bahawa ada yang tanpa segan silu mengemukakan pelbagai cadangan atau petua untuk mendapatkan anak, seolah-olah pasangan sepertinya tidak pernah berusaha sebelum ini.
Dalam pada itu, Cik Sheena turut berkongsi cara beliau menetapkan batas apabila berdepan soalan sedemikian.
“Bagaimana untuk mengelak daripada menjawab soalan seperti ini? Saya akan cakap, terima kasih, tetapi saya tidak mahu bercakap tentang perkara ini,” ujarnya, sambil menekankan kepentingan menjaga ruang peribadi.
Di ruangan komen, ramai turut berkongsi pengalaman dan cara masing-masing menangani situasi sama, selain saling mendoakan mereka yang masih berusaha mendapatkan zuriat.
Antaranya, seorang pengguna bernama ladydiane berkongsi bahawa beliau telah melalui situasi tersebut selama 13 tahun dan memilih untuk tidak lagi mengendahkan pertanyaan sedemikian, selain reda dengan ketentuan Ilahi.
Pengguna bernama nadzirah pula berkata:
“Saya hargai segala tip dan petua daripada mak cik-mak cik, tetapi ada masanya mereka melampaui batas. Saya biasanya hentikan dengan cara baik, dengan berkata ‘Anak sedang sibuk di syurga dengan kawan-kawan dia’.”
Malah seorang lagi pengguna meluahkan bahawa walaupun telah mempunyai anak, soalan tetap tidak putus – daripada bila mahu menambah anak sehinggalah pelbagai komen lain – sekali gus menunjukkan bahawa mulut orang ramai sukar dikawal.
Ada juga yang berkongsi kesedihan yang dipendam, termasuk detik-detik berdoa dalam diam, menggambarkan sisi emosi yang jarang dilihat di sebalik pertanyaan ringkas tersebut.
Ramai turut berkongsi pelbagai soalan yang sudah menjadi kelaziman setiap kali musim perayaan, termasuklah “bila nak kahwin?” dan “bila nak tambah anak lagi?”, di samping asakan soalan berkaitan perkembangan kerjaya serta pelajaran.
Malah, di media sosial, topik ini sering dijadikan kandungan santai, dengan pelbagai reaksi dan cara menjawab dengan berhemah.
Ini termasuk menggunakan jawapan bersifat sinis namun tetap sopan bagi menghentikan perbualan yang melampaui batas.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa segelintir yang bertanya mungkin sekadar ingin beramah mesra, mengenali dengan lebih dekat atau mengisi keheningan suasana.
Dalam hal ini, keseimbangan antara menjaga sensitiviti dan adab dalam berkomunikasi menjadi kunci utama dalam memastikan keharmonian sepanjang sambutan Aidilfitri.

