Selepas telefon seorang warga emas dipercayai diceroboh selepas memuat turun dan memasang aplikasi asing, antara persoalan yang mungkin timbul ialah bagaimana sebuah aplikasi boleh memberi pihak lain akses kepada telefon anda.

Dalam satu kejadian pada 22 September, telefon Samsung Galaxy S26 lelaki itu tiba-tiba terkunci dan tidak dapat dibuka menggunakan cap jari ketika anaknya sedang menghubungi DBS bagi mengesahkan mesej mencurigakan yang beliau menerima sebelum itu.

Salah satu istilah yang sering dikaitkan dengan kes penipuan melibatkan telefon Android ialah fail APK – tetapi apakah ia sebenarnya dan adakah semua fail sedemikian berbahaya?

Pengarah IT & Keselamatan Siber firma perkhidmatan profesional BDO Singapore, Encik Mohamed Noordin Yusuff Marican, menjelaskan beberapa perkara yang perlu diketahui pengguna sebelum memuat turun aplikasi, tanda amaran yang tidak harus diabaikan, serta tindakan segera jika telefon dipercayai telah diceroboh.

1. Apa sebenarnya APK?

Menurut Encik Noordin, APK atau Android Package Kit secara ringkasnya ialah fail pemasangan yang digunakan untuk memasang aplikasi pada telefon Android.

Beliau berkata fail APK sendiri tidak semestinya berbahaya kerana risikonya bergantung pada sumber fail tersebut dan kandungan di dalamnya.

“Aplikasi yang dimuat turun menerusi Google Play Store akan melalui mekanisme keselamatan dan pengesahan Google manakala APK yang diterima melalui WhatsApp, Telegram, SMS, e-mel atau laman web tidak dikenali mungkin tidak melalui pemeriksaan sama,” jelasnya.

2. Mengapa penipu suruh mangsa ubah tetapan telefon?

Menurut Encik Noordin, permintaan untuk mengubah tetapan keselamatan sebelum memasang aplikasi merupakan satu tanda amaran penting.

Beliau berkata telefon Android mempunyai sekatan terhadap pemasangan aplikasi dari luar gedung aplikasi atau app store rasmi, justeru penipu mungkin meminta mangsa mengubah tetapan telefon bagi membolehkan aplikasi berbahaya dipasang.

Tambahnya, penipu juga mungkin mengarah mangsa mengaktifkan fungsi seperti Accessibility Service yang memberi akses kepada pemberitahuan atau keistimewaan pentadbir peranti.

“Mangsa mungkin diberitahu bahawa perubahan itu diperlukan untuk mengesahkan akaun bank atau menyelesaikan sesuatu masalah, sedangkan ia sebenarnya boleh memberi aplikasi tersebut akses yang diperlukan.

“Saya amat menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat perubahan pada konfigurasi telefon hanya kerana seseorang menerusi telefon atau WhatsApp meminta mereka berbuat demikian,” kata Encik Noordin.

3. Keizinan aplikasi mana yang perlu diberi perhatian?

Pengguna juga harus memberi perhatian kepada keizinan (permission) yang diminta sesebuah aplikasi.

“Antara yang harus diberi perhatian ialah akses kepada SMS, pemberitahuan, perkongsian atau rakaman skrin, kamera dan mikrofon, serta senarai kenalan dan rekod panggilan,” kata Encik Noordin.

Menurut beliau, keizinan untuk memasang atau memadam aplikasi juga boleh memberi aplikasi keupayaan lebih luas pada telefon.

Namun, Encik Noordin berkata sesuatu keizinan tidak semestinya mencurigakan dan perlu dinilai berdasarkan fungsi sebenar aplikasi tersebut.

Sebagai contoh, aplikasi kalkulator sepatutnya tidak mempunyai sebab yang kuat untuk meminta akses kepada SMS, pemberitahuan dan kamera.

4. Bagaimana hendak muat turun aplikasi dengan selamat?

Encik Noordin menasihatkan pengguna supaya memuat turun aplikasi daripada app store rasmi serta menyemak nama pembangun, jumlah muat turun dan ulasan aplikasi.

Menurutnya, pengguna harus memastikan sistem operasi Android dan aplikasi sentiasa dikemas kini, manakala Google Play Protect harus diaktifkan.

Pada masa sama, pengguna tidak harus menganggap sesuatu aplikasi selamat hanya kerana ia mempunyai nama atau logo yang kelihatan profesional.

“Jangan memasukan sesebuah aplikasi sekiranya menerima fail APK melalui WhatsApp, SMS, Telegram, e-mel atau laman web semata-mata kerana seseorang berkata ia perlu dilakukan.

“Jika anda terima mesej yang mendakwa berasal daripada bank atau agensi pemerintah, jangan guna nombor telefon atau pautan yang diberikan untuk membuat pengesahan.

“Dapatkan sendiri laman web atau nombor telefon rasmi pertubuhan itu dan hubungi mereka secara langsung,” nasihat Encik Noordin.

5. Apa perlu dilakukan jika telefon diceroboh?

Bagi anggota keluarga yang lebih berusia, Encik Noordin berkata pendidikan dan sokongan keluarga sama penting dengan perlindungan teknologi.

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil ialah mengaktifkan Google Play Protect, memastikan sistem operasi telefon dikemas kini dan menghalang memasang aplikasi daripada sumber tidak dikenali.

Tambahnya, keluarga juga boleh memeriksa aplikasi yang mempunyai akses kepada Accessibility Service dan pemberitahuan.

“Jika seseorang secara tiba-tiba meminta anda memasang aplikasi atau menukar tetapan telefon, berhenti dan hubungi anggota keluarga terlebih dahulu,” ujar Encik Noordin.