Bagi kebanyakan pasangan raja sehari, tradisi persembahan silat pengantin lazimnya disaksikan dari atas pelamin.

Namun, bagi bekas pesilat negara, Cik Nurhanishah Shahrudin, beliau memilih untuk turun sendiri membuka langkah silat pengantin sebagai kejutan buat suaminya pada majlis perkahwinan mereka di Changi Civil Service Club pada 26 September.

Diiringi paluan kompang, jurulatih, atlet bimbingannya serta anggota keluarga, termasuk ayah, adik lelakinya dan saudara-mara, turut mempersembahkan silat pengantin buat pasangan mempelai itu.

“Apabila saya melihat adik saya menangis semasa melakukan silat pengantin, saya turut sebak dan tidak dapat tahan emosi.

“Semua yang hadir di majlis itu turut merasai suasana yang begitu menyentuh hati.

“Masya-Allah, itu merupakan satu detik yang sangat indah,” kata Cik Nurhanishah, 28 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Sebagai penutup persembahan, adiknya, Encik Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin, yang juga pesilat negara, memimpin tangan Cik Nurhanishah turun dari pelamin untuk mempersembahkan silat pengantin.

“Saya pernah melakukan silat pengantin di banyak majlis perkahwinan orang lain, tetapi apabila melakukannya di majlis sendiri, perasaannya memang berbeza.

“Macam-macam perasaan timbul ketika itu. Saya gementar, terharu, gembira dan teruja, sambil cuba menghayati setiap detik tersebut,” terang beliau.

Menurut Cik Nurhanishah, kejutan itu telah lama dirancang bersama adik dan ibu bapanya tanpa pengetahuan suami mahupun anggota keluarga lain.

Tambahnya, beliau sempat berlatih dalam busana songket dan kasut tumit tinggi untuk memastikan pergerakannya tidak pada hari persandingan.

Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna ‘the naf collective’ di TikTok, rakaman Cik Nurhanishah mempersembahkan silat pengantin pada majlis perkahwinannya itu telah meraih lebih 1,000 tanda suka.

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk melakukan silat pengantin di majlis perkahwinan sendiri kerana silat merupakan sesuatu yang dekat dengan hati saya,” katanya.

Menurut Cik Nurhanishah, minatnya terhadap seni mempertahankan diri itu berputik sejak usia empat tahun, sebelum beliau mula menyertai pertandingan peringkat kebangsaan setahun kemudian, ketika berusia lima tahun.

Sepanjang kerjayanya sebagai pesilat negara, beliau pernah meraih pingat emas dalam kategori Seni Gandingan Puteri pada Kejohanan Pencak Silat 2018 serta pingat perak pada Sukan SEA 2017.

Namun, beliau membuat keputusan yang berat untuk bersara daripada arena pertandingan pada 2020 kerana ingin memberi tumpuan kepada pengajian dalam bidang pengurusan hotel dan hospitaliti.

Meskipun tidak lagi bertanding, Cik Nurhanishah berkata beliau terus aktif dalam dunia persilatan sebagai penolong jurulatih di kelab Maung Lugay Singapura (MLS), dengan harapan dapat membimbing generasi pelapis pesilat negara.