Di gelanggang terbuka di antara Blok 889 dengan Blok 888A Tampines Street 81 baru-baru ini, Cik Nur Afiqah Abdul Rashid, 30 tahun, bersedia dengan raketnya (paddle) untuk menyambut bola pikel atau pickleball daripada pemain lawan.
Namun, yang ‘menyambutnya’ pula ialah suara lantang seorang lelaki berusia 40-an tahun, mengalihkan perhatian mereka terhadap satu notis pemberitahuan di gelanggang itu.
Ketika itulah langkah anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu untuk kembali aktif terhenti seketika.
“Kami terlihat notis kertas yang menyatakan tiada permainan sukan bola lain yang dibenarkan kecuali badminton. Notis itu tidak pernah ada sebelum itu. Itulah kali pertama kami melihatnya,” kata Cik Afiqah.
Menurut lelaki itu lagi, penduduk telah membuat aduan kepada majlis bandaran supaya melarang penggunaan gelanggang itu bagi permainan bola pikel.
Sejak Januari 2024 hingga Ogos 2025, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) menerima 701 aduan bising mengenai bola pikel, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.
Hal ini dibangkitkan di Parlimen pada 25 September oleh Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP), Profesor Madya Jamus Lim, yang telah bertanya sekiranya terdapat sebarang rancangan untuk mengeluarkan sebarang panduan atau peraturan tentang permainan bola pikel di gelanggang awam Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), berdasarkan isu bising.
Apabila Berita Harian (BH) tiba di gelanggang awam antara Blok 889 dengan Blok 888A Tampines Street 81 pada 16 September, kelihatan sepanduk dipasang Majlis Bandaran Tampines bagi mengingatkan pemain supaya mengelakkan kegiatan riadah yang bising, khususnya antara 10.30 malam dengan 7 pagi.
Notis kertas bertarikh 26 Ogos 2025 juga dilihat digantung berdekatan, bagi memaklumkan bahawa gelanggang itu hanya untuk permainan badminton.
Ia turut mengingatkan penduduk supaya mengawal tahap bising antara 10 malam dengan 7 pagi.
Tiada permainan sukan lain dibenarkan di gelanggang berkenaan.
Majlis Bandaran Tampines memberitahu BH bahawa sepanduk dan poster telah dipasang bagi mengingatkan penduduk supaya mengurangkan bunyi bising dan menghentikan semua kegiatan bermula 9 malam di beberapa gelanggang serta kemudahan lain.
Lampu turut dipadamkan lebih awal di beberapa kawasan bagi mengelakkan kegiatan bising pada lewat malam.
Bagi menjaga ketenteraman penduduk yang terganggu oleh bunyi bising serta penggiat bola pikel, penyelesaian yang seimbang dan praktikal sedang diteroka, kata jurucakap majlis bandaran tersebut.
“Mereka yang ingin bermain bola pikel digalakkan merujuk ke ActiveSG untuk menggunakan gelanggang yang dibina khusus bagi tujuan itu,” tambahnya.
Menurut laman web ActiveSG, terdapat 24 lokasi yang disediakan termasuk pusat sukan ActiveSG dan kemudahan di bawah skim dua kegunaan untuk permainan bola pikel.
Kemudahan skim tersebut terdapat di sekolah dan hanya boleh ditempah pada hujung minggu.
Apabila BH cuba menempah gelanggang di Tampines menerusi ActiveSG pada 16 September, hanya Sekolah Rendah Junyuan yang tersedia.
Namun, ia perlu melalui proses pengundian, dengan slot hanya dibuka pada 20 September. Sekolah itu hanya menawarkan empat gelanggang sahaja.
Cik Afiqah mula bermain bola pikel pada Jun lalu ketika mahu kembali aktif.
Beliau yang sudah bermain di gelanggang Tampines itu sejak Julai berasa terkejut apabila menerima aduan tersebut pada 28 Ogos.
“Perkara yang boleh kita lakukan jika ada aduan hanyalah mencari alternatif.
“Jadi sejak itu, kami membeli bola sofbal yang lebih senyap dan kami juga menukar lokasi permainan ke Tampines North Drive 2,” katanya, yang juga seorang penduduk Tampines.
Seiring dengan peningkatan permainan bola pikel yang semakin popular sejak 2024, aduan mengenai bunyi bising daripada permainan itu turut muncul dari masa ke masa di media sosial.
Cik Syarifah (nama samaran), 53 tahun, yang sudah hampir 20 tahun menetap di flat yang terletak berhadapan gelanggang terbuka berhampiran Blok 888A, Tampines Street 81, berkata bunyi permainan tersebut tidak pula mengganggunya.
“Kenapa perlu buat aduan? Apa salahnya bersukan? Takkan hendak duduk terperap dalam rumah sahaja.
“Kalau mereka main, kita tak rasa sunyi… tak bimbang. Cukup time mereka akan balik,” kata Cik Syarifah.
Seorang jirannya yang hanya dikenali sebagai Encik Zainal, 69 tahun, turut sependapat.
“Walaupun saya tinggal di tingkat 12, dan bunyinya lebih kuat kerana ada echo, bagi saya ia bukan masalah yang besar... kanak-kanak bila bermain di taman permainan pun sama kuat bisingnya. Saya sudah biasa dengan perkara ini.
“Kalau tak ada aktiviti, macam tak ceria pula (suasana sekeliling),” kata Encik Zainal.
Gelanggang terbuka itu turut digunakan untuk permainan sepak takraw dan badminton.
Menurutnya, apabila lampu di gelanggang tersebut dipadam sekitar 9.30 malam – kira-kira waktu beliau pulang daripada menunaikan solat – sudah tiada lagi sebarang kegiatan.
“Kalau majlis bandaran sudah sediakan kemudahan, biarlah mereka gunakannya.
“Jiran berdekatan saya lagi bising, menjerit sana sini setiap pagi,” tambahnya sambil berseloroh.
Cik Afiqah mengakui sukar untuk bermain bola pikel di Tampines kerana ruang tersedia yang terhad.
Sebagai seorang pegawai sokongan teknikal yang bekerja syif dan hanya boleh aktif bersukan pada waktu malam, ia menjadi masalah tambahan kerana kebanyakan ruang tersedia sudah penuh ditempah pada waktu tersebut.
“Sukar bagi saya mendapat slot kosong kerana ia perlu melalui proses pengundian.
“Dan sebaik sahaja dibuka, semuanya dengan pantas ditempah,” kata Cik Afiqah, ketika ditanya mengenai lokasi lain permainan bola pikel seperti di Our Tampines Hub, Kelab Masyarakat Tampines West dan Safra Tampines.
Dengan gelanggang tertutup yang terhad, para pemain terpaksa menggunakan gelanggang awam serba guna.
Namun, bunyi bising daripada permainan bola pikel telah menimbulkan ketegangan dalam kalangan sesetengah penduduk sehingga pihak berkuasa mengambil langkah bagi memastikan satu penyelesaian adil.
Felow Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS), Encik Nicholas Thomas, memberitahu BH bahawa peningkatan aduan rasmi yang mengakibatkan penglibatan majlis bandaran yang menyekat akses serta ‘mengunci’ gelanggang awam selepas waktu tertentu adalah satu petanda.
Ia menunjukkan hubungan rentas kumpulan (interaksi antara pemain bola pikel dengan masyarakat umum) dan norma yang dikongsi (persefahaman antara kumpulan berbeza dalam masyarakat tentang cara hidup bersama) tidak berkembang seiring.
“Penduduk kini semakin kurang mahu menyelesaikan isu sesama sendiri, sebaliknya memilih untuk terus membuat aduan rasmi dengan sebahagian pertikaian bertukar menjadi lebih buruk.
“Apabila semangat saling mempercayai merosot dan interaksi antara kumpulan berkurangan, penduduk mengharapkan campur tangan agensi pemerintah, dengan tindakan lebih tegas diambil bagi pihak mereka.
“Jika keadaan ini berterusan, ia akan menjadi tidak mampan bagi Singapura kerana orang ramai hanya mengutamakan kepentingan diri dan kumpulan sendiri, bukannya antara satu sama lain,” kata Encik Thomas.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata demi memastikan Singapura kekal berdaya maju dalam dunia yang semakin mencabar, rakyat Singapura perlu membina masyarakat berteraskan “Kita dahulu” dengan memperkukuh hubungan antara satu sama lain, bukan hanya mengutamakan kepentingan sendiri.
“Kita sama sekali tidak mahu menjadi sebuah masyarakat yang hanya bergantung kepada pemerintah,” kata Encik Wong.
Menurut The Straits Times (ST), beberapa majlis bandaran telah mengenakan sekatan terhadap permainan bola pikel.
Di GRC Marine Parade-Braddell Heights, majlis bandaran telah mula memadamkan lampu lebih awal di gelanggang terpilih untuk mengelakkan permainan sehingga lewat malam – iaitu pada 9.40 malam, lebih awal daripada kebiasaan 10 malam.
Majlis itu menerima 90 aduan mengenai bola pikel pada 2025 – kebanyakannya berkaitan bunyi bising – berbanding 30 aduan pada 2024.
Papan tanda juga telah dipasang untuk mengingatkan pemain supaya mengawal tahap bunyi dan bermain pada waktu yang ditetapkan, kata seorang jurucakap majlis bandaran tersebut.
Majlis bandaran itu menguruskan sebuah gelanggang bola pikel di Blok 47, Marine Crescent, meskipun sukan itu turut dimainkan di gelanggang serba guna di seluruh estet itu.
Di bahagian barat, Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee telah memasang papan tanda di gelanggang badminton berhampiran Blok 636A, Choa Chu Kang North 6, bagi mengingatkan penduduk tentang penggunaan gelanggang yang betul.
Waktu operasi gelanggang itu juga telah dipendekkan – kini ditutup pada 9 malam berbanding 9.30 malam setiap hari, kecuali pada Isnin apabila ia ditutup pada 9.30 malam.
Di GRC Bishan-Toa Payoh pula, pemain bola pikel digalakkan menggunakan gelanggang tertutup berhadapan Kelab Masyarakat Bishan.
Lebih banyak gelanggang juga sedang dibangunkan di Kelab Masyarakat Thomson yang baru dibuka.
AP GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen, berkata waktu permainan sukan itu di gelanggang sekitar kawasan undi tersebut telah dihadkan kepada tiga slot sepanjang dua jam antara 10 pagi dengan 8 malam pada hari biasa; dan 3 petang hingga 8 malam pada hujung minggu.
Pada Ogos lalu, Majlis Bandaran Ang Mo Kio juga telah mengenakan sekatan terhadap permainan bola pikel.
Dalam satu hantaran di Instagram, ia menyatakan telah menerima maklum balas mengenai “bunyi bising yang berpanjangan dan kesesakan gelanggang, khususnya pada lewat malam”.
Sepanduk telah dipasang di beberapa gelanggang terbuka bagi mengingatkan pemain agar mengurangkan bunyi bising, manakala gelanggang yang berpagar akan dikunci pada 9 malam.
Encik Nicholas berkongsi bahawa dalam langkah untuk menyelesaikan isu yang serupa seperti pembakaran kertas colok dan bunyi bising di kejiranan, MSO telah mencipta bersama norma masyarakat dengan penglibatan penduduk.
Contohnya, dalam menangani aduan mengenai pembakaran kertas colok sembarangan, Perikatan untuk Bertindak (AfA) mengenai Norma Pembakaran Kertas Colok ditubuhkan pada Julai 2022 untuk mencapai persetujuan dalam kalangan masyarakat Cina mengenai norma yang diingini bagi pembakaran kertas colok secara bertanggungjawab.
Kempen pendidikan awam melalui poster yang dipamerkan di kawasan perumahan, bahan iklan bersebelahan produk kertas colok di pasar raya, serta dialog awam turut dijalankan bagi mendidik orang ramai tentang amalan pembakaran kertas colok yang bertanggungjawab.
“Tiada pendekatan ‘satu saiz sesuai untuk semua’... keadaan di setiap kawasan dan gelanggang berbeza,” kata Encik Nicholas.
Bagi menyelesaikan isu tersebut, penduduk perlu bersatu, berfikir dan bertindak bersama, dengan AP memainkan peranan sebagai pengantara dan penyokong.
“Mereka boleh menganjurkan sesi perbincangan bagi mengemukakan pandangan setiap pihak berkepentingan bagi menemui persetujuan praktikal seperti menghentikan permainan pada waktu tertentu, serta menjelaskan cara membuat tempahan di gelanggang bagi memastikan akses yang adil.
“Dengan cara ini, AP memperkasa masyarakat agar membuat keputusan bersama ke atas penggunaan ruang yang dikongsi, mengimbangi keutamaan yang berbeza dan membina tanggungjawab bersama,” katanya.
Hasilnya ialah hubungan antara kumpulan berbeza – pemain bola pikel dan penduduk yang berteraskan norma dan kepercayaan yang dibentuk bersama, tambahnya.
Merenung kembali kepada kejadian itu, Cik Afiqah berkata: “Perkara yang paling saya tidak setuju ketika majlis bandaran (Tampines) meletakkan notis bahawa tiada permainan bola lain dibenarkan kecuali badminton.
“Ia ruang awam. Kami main dalam waktu yang ditetapkan, dan tidak melebihinya, kata Cik Afiqah.
Apa yang patut diperbaiki? “Tidak banyak yang majlis bandaran boleh lakukan.
“Hanya antara penduduk kita perlu lebih saling memahami. Sebab sekatan itu datang daripada aduan penduduk, bukan?
“Saya harap kita boleh lebih bersikap tolak ansur,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg