Topic followed successfully
Go to BHkuDua sahabat lari lebih 21km lengkap berbaju Melayu, samping, songkok
Dua sahabat lari lebih 21km lengkap berbaju Melayu, samping, songkok
Dua sahabat lari lebih 21km lengkap berbaju Melayu, samping, songkok
Bayangkan berlari lebih 21 kilometer dalam baju Melayu?
Itulah yang dilakukan pasangan sahabat, Encik Muhammad Dani Mirza Ahmad Affandi dan Encik Muhamad Nurirsyad Azman pada 5 April lalu ketika melibatkan diri dalam acara separuh maraton (21.1 kilometer) 2XU Compression Run 2026.
Walaupun tidak memenangi tempat pertama, mereka pastinya berjaya memenangi hati orang ramai dengan pakaian mereka.
Di garisan permulaan acara, sedang pelari lain mengenakan pakaian sukan drifit atau ringan yang sesuai untuk berlari, kedua-dua pemuda berusia 23 tahun itu tampil berbeza – lengkap berbaju kurung hijau dengan samping merah jambu serta songkok hitam.
“Pada Februari, ketika kami menyertai acara separuh maraton di Johor Bahru, kami ternampak beberapa peserta berlari dalam jubah.
“Kami kemudian mendapati bahawa ia idea yang baik. Namun idea untuk kami sendiri mengenakan busana tradisional ini muncul secara spontan hanya seminggu sebelum perlumbaan, memandangkan acara tersebut masih dalam suasana Syawal.
“Kami selongkar almari dan cari baju raya tahun-tahun lepas. Secara tidak sengaja, kami padankan warna merah jambu dan hijau sesuai dengan tema strawberi matcha,” cerita Encik Dani apabila dihubungi Berita Harian (BH).
Namun, berlari sejauh 21.1km dengan kain samping bukanlah tugas mudah.
Encik Dani, anak ketiga dalam enam adik-beradik, menceritakan bagaimana songkoknya mula “lembek” di bahagian dalam kerana tidak dapat menahan kebasahan peluh.
Dalam pada itu, baju kurung mereka lencun sepenuhnya seawal beberapa kilometer pertama.
Meskipun berdepan rintangan fizikal itu, Encik Dani berjaya mencatatkan masa 2 jam 16 minit, manakala Encik Nurirsyad menamatkan larian dalam masa 2 jam 38 minit.
Keunikan gelagat mereka itu hanya diketahui ramai setelah mereka memuatnaikkan video sebelum dan selepas larian tersebut ke wadah media sosial, TikTok.
Video itu telah meraih hampir 30,000 tontonan dan menerima lebih 2,500 tanda suka.
Seorang pengguna TikTok, C0mB0G0D berkata:
“Nampak terlalu kering bro, macam tak berpeluh lari 21 kilometer.”
Encik Dani, yang bekerja sebagai barista sambilan, berkata:
“Keluarga saya pada mulanya ingat saya main-main. Hanya selepas saya muat naik video kami betul-betul berlari di jalan raya, baru mereka percaya. Malah peserta lain pun banyak beri galakan, ada yang jerit ‘Respect bro, tak panas ke?’ dan ramai yang mengucapkan ‘selamat hari Raya!’.
“Setelah acara itu, ramai juga orang yang minta bergambar bersama kami.”
Selepas acara berlari di kota singa, duo strawberi matcha itu kini berada di Lombok, Indonesia, untuk misi mendaki Gunung Rinjani.
“Kami merancang untuk mendaki dalam jubah tetapi setakat ini belum pasti lagi. Idea ini juga tercetus hanya pada malam sebelum kami berangkat,” seloroh Encik Dani yang telah menyertai sebanyak lima separuh maraton dan satu maraton.

