Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu penerima hari ini penderma: Pengasas Cheekies Enterprise sumbang dermasiswa $10,000
Dulu penerima hari ini penderma: Pengasas Cheekies Enterprise sumbang dermasiswa $10,000
Dulu penerima hari ini penderma: Pengasas Cheekies Enterprise sumbang dermasiswa $10,000
Pernah menerima bantuan kewangan sebagai pelajar Politeknik Republic (RP), usahawan Encik Nabill Shukry Johary kini mahu membantu pelajar yang mungkin berdepan cabaran kewangan seperti yang pernah dilaluinya.
Menerusi syarikatnya, Cheekies Enterprise Pte Ltd, beliau akan menyalurkan S$10,000 bagi sebuah dermasiswa yang dijangka akan mula diberikan kepada pelajar RP pada sekitar April 2027.
Cheekies merupakan jenama makanan halal tempatan yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan sihat termasuk ayam perap dan daging kambing, yang memudahkan pelanggan menikmati sajian berkhasiat di rumah.
“Saya pernah menjadi pelajar RP yang memerlukan dan mendapat manfaat daripada bantuan kewangan.
“Jika syarikat kami terus berjaya, saya mahu sebahagian daripada kejayaan itu kembali kepada pelajar yang berada di tempat saya suatu ketika dahulu,” kata Encik Nabill, 29 tahun, apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Dermasiswa itu, yang dinamakan ‘Cheekies Enterprise Bursary’, akan dibuka kepada semua pelajar RP tanpa mengira latar belakang.
“Pelajar yang menunjukkan kemajuan yang memuaskan dalam pengajian serta mempunyai kehadiran yang baik adalah antara kriteria yang akan dipertimbangkan
“Proses pemilihan dan penyaluran bantuan akan ditentukan oleh RP,” jelas bekas pelajar RP itu yang telah menuntut di politeknik itu pada 2015 hingga 2018 dalam Pengurusan Perusahaan Sosial.
Daripada sumbangan $10,000 itu, pelajar yang terpilih akan menerima sama ada $1,500 atau $2,500.
Encik Nabill berkata institusi itu memainkan peranan penting dalam perjalanannya kerana selain menerima bantuan kewangan ketika belajar, beliau turut mendapat hubungan dan peluang yang terus membantunya sehingga kini.
Beliau berkata keputusan untuk mewujudkan dermasiswa itu juga didorong pengalaman peribadi serta keinginannya untuk membantu golongan muda yang mungkin menghadapi keadaan kewangan yang sukar.
Menurutnya, antara perkara yang masih menghantuinya ialah beliau tidak sempat menyediakan rumah sendiri untuk arwah ibunya, Allahyarhamha Nor Hayati Mohammed yang telah dijemput Ilahi pada Mac lalu akibat septicemia (jangkitan pada darah).
“Saya tidak mahu anak muda lain merasakan mereka tidak mampu melakukan secukupnya untuk keluarga hanya kerana keadaan kewangan mereka,” ujar abang sulung dua beradik itu.
Pada awalnya, Encik Nabill mahu dermasiswa itu dinamakan sempena arwah ibunya sebagai satu cara untuk meneruskan legasi wanita itu yang banyak mengajarnya tentang ketabahan, memberi kembali dan membantu orang lain.
Namun, menurutnya, di bawah garis panduan RP, sumbangan individu tidak boleh digunakan untuk menamakan dermasiswa.
Sumbangan individu akan disalurkan di bawah ‘RP Bursary’, manakala penderma korporat boleh menubuhkan dermasiswa yang dinamakan.
Encik Nabill berkata nama arwah ibunya penting baginya kerana ia membolehkan legasi wanita itu terus dikaitkan dengan usaha membantu orang lain.
“Sebagai sebuah perniagaan milik orang Melayu, saya turut berharap kewujudan Cheekies dalam kalangan penyumbang dapat memberi inspirasi kepada pelajar Melayu untuk melihat bahawa mereka juga boleh berjaya dan suatu hari nanti berada dalam kedudukan untuk membantu orang lain,” luahnya.
Selain bantuan kewangan, Cheekies juga kini mengadakan bengkel TikTok Shop secara percuma bersama RP, dengan Encik Nabill mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada membangunkan perniagaannya.
Beliau berkata cita-cita lebih besarnya ialah untuk menubuhkan sebuah yayasan atas nama arwah ibunya bagi membantu golongan daripada latar belakang kewangan yang mencabar.
Namun, usaha itu akan bergantung kepada prestasi syarikatnya dan tidak akan melibatkan kutipan derma daripada orang awam atau penderma luar.
“Saya seorang alumni pelajar RP yang memerlukan dan menerima manfaat daripada bantuan kewangan.
“Jika syarikat kami terus berjaya, saya mahu sebahagian daripada kejayaan itu disalurkan semula kepada pelajar yang kini berada dalam keadaan seperti yang pernah saya lalui.”
“Dan mudah-mudahan, suatu hari nanti, sebahagian daripada mereka pula berada dalam kedudukan untuk melakukan perkara yang sama kepada orang lain,” katanya lagi.
