Pernah menerima bantuan kewangan sebagai pelajar Politeknik Republic (RP), usahawan, Encik Nabill Shukry Johary, kini mahu membantu pelajar yang mungkin menghadapi cabaran kewangan seperti yang pernah dilaluinya.

Menerusi syarikatnya, Cheekies Enterprise Pte Ltd, beliau akan menyalurkan $10,000 bagi dermasiswa yang dijangka mula diberikan kepada pelajar RP pada sekitar April 2027.

Cheekies merupakan jenama makanan halal tempatan yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan sihat termasuk ayam perap dan daging kambing, yang memudahkan pelanggan menikmati sajian berkhasiat di rumah.

“Saya pernah menjadi pelajar RP yang memerlukan dan mendapat manfaat daripada bantuan kewangan.

“Jika syarikat kami terus berjaya, saya mahu sebahagian daripada kejayaan itu kembali kepada pelajar yang berada di tempat saya suatu ketika dahulu,” kata Encik Nabill, 29 tahun, apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Dermasiswa itu, yang dinamakan ‘Cheekies Enterprise Bursary’, terbuka kepada pelajar RP daripada pelbagai bidang pengajian dan latar belakang yang berdepan cabaran kewangan.

“Pelajar yang menunjukkan kemajuan yang memuaskan dalam pengajian serta mempunyai kehadiran yang baik adalah antara kriteria yang akan dipertimbangkan.

“Proses pemilihan dan penyaluran bantuan akan ditentukan oleh RP,” jelas bekas pelajar RP itu yang telah menuntut di politeknik itu pada 2015 hingga 2018 dalam bidang Pengurusan Perusahaan Sosial.

Daripada sumbangan $10,000 itu, pelajar yang terpilih akan menerima sama ada $1,500 atau $2,500.

Menurut Encik Nabill, institusi itu memainkan peranan penting dalam perjalanan hidupnya.

Di samping menerima bantuan kewangan sewaktu sedang menuntut, beliau turut memperoleh rangkaian hubungan dan peluang yang terus membantunya sehingga kini.

Pengarah Pejabat Sokongan Pelajar RP, Encik Deepak Chugani, berkata sumbangan itu mencerminkan bagaimana sokongan yang diterima seseorang boleh diteruskan untuk membantu pelajar lain.

“Ia amat bermakna melihat Nabill kembali ke RP, bukan sahaja sebagai seorang anggota alumni yang berjaya, bahkan juga sebagai seseorang yang mengingati sokongan yang pernah diterimanya dan kini mahu memberi galakan yang sama kepada orang lain.

“Sumbangannya menunjukkan bahawa sokongan yang diberikan boleh kembali menjadi satu kitaran dan membantu membuka peluang kepada generasi pelajar akan datang untuk mengejar lebih banyak kesempatan,” katanya.

Menurut Encik Nabill, keputusan untuk mewujudkan dermasiswa itu juga didorong pengalaman peribadi serta keinginannya untuk membantu golongan muda yang mungkin menghadapi cabaran kewangan yang sukar.

Antara perkara yang masih menghantuinya ialah beliau tidak sempat membelikan sebuah rumah untuk arwah ibunya, Allahyarhamha Nor Hayati Mohammed, sebelum beliau meninggal dunia pada Mac lalu akibat septisemia – jangkitan pada darah.

Keluarga itu tinggal di rumah sewa.

“Saya tidak mahu anak muda lain berasa mereka tidak mampu melakukan secukupnya untuk keluarga hanya kerana keadaan kewangan mereka,” ujar abang sulung dua beradik itu.

Pada awalnya, Encik Nabill mahu dermasiswa itu dinamakan sempena allahyarhamha ibunya sebagai satu cara untuk meneruskan legasi wanita yang banyak mengajarnya tentang ketabahan, memberi kembali dan membantu orang lain.

Namun, menurutnya, di bawah garis panduan RP, sumbangan individu tidak boleh digunakan untuk menamakan dermasiswa.

Sumbangan individu akan disalurkan di bawah ‘RP Bursary’, manakala penderma korporat boleh menubuhkan dermasiswa yang dinamakan.

Encik Nabill berkata nama arwah ibunya penting baginya kerana ia membolehkan legasi insan yang disayangi itu dapat terus dikaitkan dengan usaha membantu orang lain.

“Sebagai sebuah perniagaan milik orang Melayu, saya turut berharap kewujudan Cheekies dalam kalangan penyumbang dapat memberi inspirasi kepada pelajar Melayu untuk melihat bahawa mereka juga boleh berjaya dan suatu hari nanti berada dalam kedudukan untuk membantu orang lain,” luahnya.

Selain bantuan kewangan, Cheekies juga kini mengadakan bengkel ‘TikTok Shop’ secara percuma bersama RP, dengan Encik Nabill mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada membangunkan perniagaannya.

Menurut Encik Nabill, cita-cita lebih besarnya adalah untuk menubuhkan sebuah yayasan atas nama arwah ibunya bagi membantu golongan daripada latar belakang kewangan yang mencabar.

Namun, usaha itu akan bergantung kepada prestasi syarikatnya dan tidak akan melibatkan kutipan derma daripada orang awam atau penderma luar.

“Jika syarikat kami terus berjaya, saya mahu sebahagian daripada kejayaan itu disalurkan semula kepada pelajar RP yang kini berada dalam keadaan seperti yang pernah saya lalui.

“Dan mudah-mudahan, suatu hari nanti, sebahagian daripada mereka pula berada dalam kedudukan untuk melakukan perkara yang sama kepada orang lain,” tambahnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti