Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu sukar baca Al-Quran, kini guru bertauliah mengajar sepenuh masa
Kendali kelas Al-Quran secara dalam talian dan di Masjid Hasanah untuk pelajar berusia enam hingga 65 tahun
Dulu sukar baca Al-Quran, kini guru bertauliah mengajar sepenuh masa
Walaupun dibesarkan dalam sistem pendidikan yang sebahagian besarnya sekular, perjalanan Ustaz Muhammad Faris Abdul Kadir untuk mendekati Al-Quran tidak semudah yang disangkanya.
Semasa di sekolah menengah, beliau pernah mengikuti kelas madrasah di hujung minggu, namun berhenti kerana hilang motivasi dan ingin memberi tumpuan kepada pelajaran di sekolah.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Politeknik Nanyang (NYP), sebelum bekerja dalam beberapa bidang, termasuk muzik.
Namun, beberapa pengalaman hidup antara 2012 hingga 2015 membuatkan beliau mula memikirkan semula hubungannya dengan agama dan Al-Quran, sebelum mengambil keputusan untuk mempelajarinya dengan serius pada 2016.
Hampir sedekad kemudian, Ustaz Faris, 37 tahun, kini merupakan guru bertauliah yang mengajar Al-Quran secara sepenuh masa kepada pelajar berusia antara enam dengan 65 tahun, menerusi kelas dalam talian dari Isnin hingga Jumaat dan secara bersemuka di Masjid Hasanah pada Sabtu dan Ahad.
Beliau memperoleh pengiktirafan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Julai 2025 dan kini menggunakan pengalamannya sendiri untuk mendekati mereka yang mungkin turut menghadapi kesukaran mempelajari Al-Quran.
Menurutnya, perjalanan itu bermula selepas beliau kehilangan seorang sahabat baik dan neneknya antara 2012 dengan 2015.
Malah, ketika menghadiri majlis tahlil, beliau mendapati dirinya sukar mengikuti bacaan.
“Pada ketika itu memang saya mempunyai kesukaran untuk mengikut bacaan tahlil. Saya masih ingat betapa sedih dan kecewanya saya kerana tidak mampu membaca bersama,” ujar Ustaz Faris, 37 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Pengalaman tersebut menyedarkannya bahawa meskipun sudah dewasa, beliau masih belum menguasai kemahiran asas membaca Al-Quran.
Menurutnya, dorongan yang lebih kuat muncul apabila beliau mula merancang untuk mendirikan rumah tangga dan memikirkan tanggungjawabnya sebagai bakal ketua keluarga.
Pada Ramadan 2016, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk mempelajari Al-Quran dengan lebih serius.
“Satu Ramadan itu mengubah segala-galanya bagi saya. Dalam masa sebulan, saya mula boleh membaca dengan baik. Dari situ, saya mula jatuh cinta dengan Al-Quran,” kongsinya.
Ustaz Faris berkata kemajuan dicapainya menimbulkan satu persoalan dalam dirinya.
“Saya rasa kalau saya sendiri boleh bergelut bertahun-tahun dan akhirnya mampu membaca dengan baik, mungkin sekarang saya tahu bagaimana hendak membantu orang lain,” katanya.
Sejak 2016, Ustaz Faris mula berkongsi ilmu yang dipelajarinya menerusi Instagram, yang pada mulanya sekadar kerana kecintaannya terhadap Al-Quran dan keinginan agar orang lain turut mendapat manfaat.
Namun, beliau berkata sambutan daripada pengikutnya membuatkannya mula mempertimbangkan bidang pengajaran secara lebih serius.
“Saya mula terfikir, kenapa tidak saya jadikan ini secara rasmi dan menjadi ustaz yang bertauliah?” ujarnya.
Menurut Ustaz Faris, perjalanannya daripada seorang yang pernah terkial-kial membaca Al-Quran kepada seorang guru bertauliah mengambil masa hampir sedekad.
Selepas memperoleh pengiktirafan ARS pada Julai 2025, beliau mula mengajar Al-Quran secara sepenuh masa dan menggunakan TikTok untuk berkongsi perjalanan peribadinya.
Tidak disangka, beliau berkata wadah sosial media itu menjadi ruang untuk beliau bertemu ramai individu yang mahu belajar Al-Quran tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula.
Menurut Ustaz Faris, sekitar 90 peratus pelajarnya mengenalinya menerusi TikTok.
Baginya, latar belakangnya yang sekular serta pengalaman dalam dunia muzik membantunya memahami mereka yang mungkin berasa jauh atau kekok daripada lingkungan keagamaan.
Beliau mahu menjadi jambatan bagi golongan yang ingin mempelajari Al-Quran tetapi mungkin berasa segan atau kurang yakin untuk mendekati masjid atau kelas agama tradisional.
“Saya rasa kalau seseorang seperti saya, yang datang daripada latar belakang sekular dan pernah fokus kepada muzik serta kehidupan sebagai seorang pemuzik, akhirnya boleh sampai ke tahap mencintai Al-Quran, membaca dengan baik dan mengajar orang lain, saya rasa orang lain pun boleh,” kongsinya.
Ustaz Faris juga berkata kesukaran yang pernah dilaluinya turut membentuk pendekatannya sebagai seorang guru.
Daripada meminta pelajar menghafal pelbagai hukum terlebih dahulu, beliau membawa mereka terus kepada Al-Quran sejak awal pembelajaran agar mereka dapat memahami konsep yang dipelajari dan bukan sekadar menghafal.
Namun, baginya, kaedah pembelajaran sahaja tidak mencukupi dan percaya cara seseorang mendekati pelajar juga penting, terutama bagi mereka yang mungkin berasa malu kerana baru mula belajar pada usia dewasa.
Ustaz Faris berkata kisahnya sendiri menunjukkan seseorang tidak perlu membesar dalam sistem madrasah atau mempunyai latar belakang pendidikan agama untuk membina hubungan dengan Al-Quran.
“Saya rasa Allah izinkan saya menghadapi kesukaran begitu lama supaya akhirnya saya dapat merangka kaedah pembelajaran yang dapat membantu orang lain mempelajari Al-Quran,” tambahnya.
