Selama sembilan tahun berkhidmat sebagai ejen hartanah, Encik Muhamad Shahir Abdul Majid sering membuka pintu rumah kliennya kepada bakal pembeli.

Namun, baru-baru ini, beliau mula membuka pintu sebuah rumah yang lebih dekat di hati – rumah pusaka keluarganya yang berusia hampir 120 tahun di Kampung Sungai Durian, Pulau Ubin – kepada pengunjung yang ingin merasakan sendiri kehidupan kampung.

Encik Shahir, 44 tahun, yang lebih dikenali sebagai Shahir Majid, mengambil alih rumah tersebut pada Ogos dan kini berusaha menghidupkan semula suasana kampung menerusi inisiatif BalikKampung.SG.

Rumah yang dibina di atas tiang dan mempunyai ciri Rumah Limas Melayu itu dianggarkan seluas dua gelanggang sepak takraw dan mempunyai tiga bahagian yang terdiri daripada:

  1. Bahagian pertama: Serambi dan anjung
  2. Bahagian kedua: Ibu rumah
  3. Bahagian ketiga: Dapur
Rumah pusaka keluarga Encik Shahir di Pulau Ubin mempunyai ciri seni bina Rumah Limas Melayu.
Rumah pusaka keluarga Encik Shahir di Pulau Ubin mempunyai ciri seni bina Rumah Limas Melayu. - Foto MUHAMAD SHAHIR ABDUL MAJID
Salah satu ruang dalam rumah tersebut.
Salah satu ruang dalam rumah tersebut. - Foto MUHAMAD SHAHIR ABDUL MAJID
Bahagian dapur rumah pusaka keluarga Encik Muhamad Shahir Abdul Majid.
Bahagian dapur rumah pusaka keluarga Encik Muhamad Shahir Abdul Majid. - Foto MUHAMAD SHAHIR ABDUL MAJID

“Saya mengambil alih rumah ini kerana saya memahami dan menghargai sejarah tempat serta rumah ini, dan saya mahu orang lain, termasuk generasi muda untuk turut merasakan dan menghargai pengalaman tersebut,” kata Encik Shahir ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menyingkap sejarah rumah tersebut, Encik Shahir berkata ia sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarganya sejak dibina oleh buyutnya di Pulau Ubin pada 1908.

“Sejak kecil, terdapat banyak kenangan di sini kerana setiap Hari Raya, kami akan berkumpul dan bermain di sini.

“Jadi, rumah ini memang sebahagian besar daripada kehidupan dan keluarga saya,” kongsinya.

Menurut anak sulung empat beradik itu, ibunya, Cik Kamariah Abdullah, juga pernah menetap di rumah tersebut hingga peringkat sekolah rendah.

Namun, selepas datuknya berpindah ke tanah besar untuk mendapatkan rumah yang lebih luas bagi membesarkan tujuh anak, keluarga mereka tidak lagi menetap di kampung itu dan hanya kembali berkumpul di sana pada acara seperti Hari Raya.

Kini, Encik Shahir dan keluarga mahu berkongsi pengalaman kehidupan kampung itu dengan lebih ramai orang.

Encik Shahir bersama keluarganya semasa sambutan Hari Raya 2026 di luar rumah pusakanya.
Encik Shahir bersama keluarganya semasa sambutan Hari Raya 2026 di luar rumah pusakanya. - Foto ihsan MUHAMAD SHAHIR ABDUL MAJID

Walaupun inisiatif BalikKampung.SG masih baharu, Encik Shahir dan keluarga besarnya sudah melakarkan beberapa kegiatan untuk pengunjung, termasuk lawatan berpandu, kelas memasak, dan kegiatan kebersamaan.

Buat masa ini, rumah tersebut hanya terbuka untuk tempahan kumpulan seperti syarikat, sekolah dan pertubuhan belia, dengan matlamat menawarkan pengalaman kebersamaan yang berbeza daripada di tanah besar, di samping mempunyai nilai pendidikan.

Menurut Encik Shahir, semua kegiatan itu akan dikendalikan oleh anggota keluarga beliau sepenuhnya.

Sebagai contoh, kelas memasak yang akan menampilkan hidangan seperti roti kirai dan nasi kerabu akan dikendalikan ibu saudaranya, Cik Samsiah Abdullah, manakala lawatan berpandu serta kegiatan lain dikendalikan isterinya, Cik Nursyahidah Dzulkifli.

Ibu saudara Encik Shahir, Cik Samsiah Abdullah, mengendalikan kelas memasak untuk pengunjung rumah pusaka keluarga mereka.
Ibu saudara Encik Shahir, Cik Samsiah Abdullah, mengendalikan kelas memasak untuk pengunjung rumah pusaka keluarga mereka. - Foto MUHAMAD SHAHIR ABDUL MAJID
Pengunjung menyertai kelas memasak yang dikendalikan Cik Samsiah Abdullah di rumah pusaka keluarganya di Pulau Ubin.
Pengunjung menyertai kelas memasak yang dikendalikan Cik Samsiah Abdullah di rumah pusaka keluarganya di Pulau Ubin. - Foto MUHAMAD SHAHIR ABDUL MAJID

Menurutnya lagi, pengunjung juga boleh mencuba permainan tradisional seperti congkak, chapteh dan sepak takraw, serta kegiatan lain yang boleh disesuaikan mengikut permintaan kumpulan.

Malah, Encik Shahir berkata perjalanan ke pulau itu sendiri dijadikan sebahagian daripada pengalaman tersebut.

Pengunjung akan berkumpul di jeti dan disambut anggota keluarga Encik Shahir sebelum menaiki bot yang dapat menampung sehingga 12 penumpang pada satu-satu masa ke Pulau Ubin.

Namun, beliau berkata usaha membuka rumah pusaka itu kepada pengunjung tidak semudah seperti difikirkannya.

“Antara cabaran yang kami hadapi dalam menyiapkan ruang tersebut termasuk kekurangan bekalan elektrik, air bersih, serta tandas yang selesa,” terang Encik Shahir.

Sejak mengambil alih rumah itu, beliau berkata keluarganya telah mengubah suai tandas bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.

Mereka juga menyediakan dispenser air bersih untuk memasak dan minum, manakala air kuari yang dipam ke tangki berdekatan digunakan bagi keperluan lain seperti mencuci tangan.

“Untuk keselesaan pengunjung, kami juga sedang merancang untuk memasang kipas yang menggunakan bateri,” tambahnya.

Namun, bagi Encik Shahir, keterbatasan itu juga merupakan sebahagian daripada pengalaman kehidupan kampung yang ingin dikongsi bersama pengunjung, tanpa mengabaikan keselesaan mereka.

Pada 15 September, beliau menjadi tuan rumah kepada rakan sepasukan dalam bidang hartanah, yang merupakan antara kumpulan terawal merasakan sendiri pengalaman di rumah pusaka tersebut.

Kini, Encik Shahir terus mendekati kumpulan korporat dan sekolah dengan harapan dapat membuka pintu rumah keluarganya kepada lebih ramai pengunjung untuk mengenali dan merasakan sendiri kehidupan kampung yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.