Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerai Al Hikmah Chicken Rice nafi dakwaan letak ayam mentah di lantai, buat laporan polis

Nov 21, 2025 | 3:10 PM
Gerai Al Hikmah Chicken Rice masih beroperasi di pusat makanan Upper Boon Keng pada 20 November, walaupun kakitangan mengaku perniagaan terjejas akibat berita’tidak benar’  tular sejak 18 November.
Gerai Al Hikmah Chicken Rice masih beroperasi di pusat makanan Upper Boon Keng pada 20 November, walaupun kakitangan mengaku perniagaan terjejas akibat berita’tidak benar’ tular sejak 18 November. - Foto BH oleh RUBIAH MOHD

Gerai makan Al Hikmah Chicken Rice di pusat makanan Upper Boon Keng Road telah membuat laporan polis, menafikan dakwaan yang tular bahawa kakitangannya meletakkan ayam mentah di lantai, susulan laporan akhbar digital Stomp.

Berita Harian (BH) membuat tinjauan ke gerai itu pada 20 November dan mendapati ia masih beroperasi seperti biasa.

Laporan Stomp itu tular selepas seorang pembacanya, Encik Revathi, berkongsi bahawa beliau ternampak keadaan yang membimbangkan di gerai Al Hikmah Chicken Rice pada 12 Nov, 8.32 malam.

“Memang teruk,” kata pengadu, yang dikatakan tidak bertanya kepada kakitangan berkenaan atau melaporkannya kepada Agensi Makanan Singapura (SFA).

Pengurus gerai Al Hikmah Chicken Rice, Encik Mohamed Rashid Ramjan, 43 tahun, tidak berada di gerai sewaktu lawatan wartawan tetapi menjawab pertanyaan BH melalui panggilan, wadah permesejan Whatsapp dan emel.

Beliau berkata kejadian tersebut bukanlah seperti yang didakwa dan menyifatkan laporan itu tidak tepat serta telah mendatangkan kerugian kepada mereka:

“Laporan polis telah dibuat untuk memastikan perkara ini direkodkan secara rasmi. Kami sentiasa dan akan terus mematuhi piawaian yang ditetapkan Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).”

Encik Rashid menegaskan bahawa dakwaan kakitangan sengaja meletakkan ayam mentah di lantai adalah “tidak benar sama sekali.”

Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengadu, plastik berisi ayam sebenarnya terjatuh secara tidak sengaja daripada kotak berhampiran pintu masuk. Gambar pertama menunjukkan sebahagian ayam berada di lantai, manakala gambar seterusnya merakamkan kakitangan sedang mengutip ayam yang jatuh — bukan menyediakannya di lantai seperti yang didakwa.

“Adalah tidak munasabah untuk mana-mana kakitangan dengan sengaja meletakkan ayam mentah di kawasan pintu masuk, tempat orang lalu-lalang,” katanya. Beliau menambah bahawa imej-imej yang dikongsi itu sendiri menjadi bukti bahawa kakitangan sedang membersihkan tumpahan, bukannya melakukan amalan tidak bersih.

Pengurus Al Hikmah turut membidas kenyataan yang didakwa daripada “gerai bersebelahan”, yang dalam laporan Stomp mendakwa insiden itu berlaku secara berulang. Menurutnya, kenyataan itu adalah palsu, tidak disahkan dan bersifat memfitnah.

“Kami tidak tahu siapa yang memberikan kenyataan itu dan tiada bukti dikemukakan. Kenyataan seperti itu boleh direka oleh sesiapa sahaja dan ia mengelirukan pembaca sehingga memberi gambaran bahawa amalan tidak bersih sering berlaku di gerai kami,” tambahnya lagi.

Encik Rashid turut menyatakan rasa terkejut dengan penyiaran artikel yang membawa dakwaan sedemikian, apatah lagi apabila insiden tersebut merupakan kemalangan.

Mengenai siasatan pihak berkuasa, beliau memaklumkan bahawa gerai itu telah memberikan kerjasama penuh kepada SFA, termasuk menyerahkan rakaman CCTV.

Dalam pada itu, SFA mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.

Dalam kenyataannya, SFA menegaskan bahawa keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama dan semua pengendali makanan mesti memastikan amalan kebersihan yang baik serta premis yang bersih.

SFA menambah bahawa ia mengambil serius setiap maklum balas mengenai amalan keselamatan makanan yang lemah dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika terdapat bukti kukuh.

Encik Rashid juga mengakui bahawa insiden berkenaan memberi kesan kepada perniagaan kerana beberapa pelanggan tetap telah menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan.

“Kami berharap penjelasan ini membantu membersihkan nama kami dan memulihkan keyakinan pelanggan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg