Topik diikuti
Pergi ke BHkuGurau mahu Chagee buka di pusat beli-belah Northpoint City, kini siap ada ‘standee’ sendiri
Gurau mahu Chagee buka di pusat beli-belah Northpoint City, kini siap ada ‘standee’ sendiri
Pencipta kandungan tidak sangka video spontannya mengenai jenama teh susu itu membawa kepada dua permintaannya menjadi kenyataan
Gurau mahu Chagee buka di pusat beli-belah Northpoint City, kini siap ada ‘standee’ sendiri
Pada mulanya, Encik Muhammad Rifqi Solihin Muhammad Hairi sekadar bergurau agar rangkaian jenama teh susu China, Chagee, membuka cawangan di pusat beli-belah Northpoint City di Yishun.
Kemudian, beliau bergurau pula mahu mempunyai standee atau sepanduk berdiri bersaiz sebenar dirinya diletakkan di luar cawangan tersebut.
Tidak disangka, kedua-dua permintaannya menjadi kenyataan.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Rifqi, 25 tahun, berkata semuanya bermula dengan beberapa video spontan mengenai Chagee yang dimuat naiknya pada April.
Encik Rifqi, seorang pencipta kandungan yang dikenali dengan kandungan pelancongan, khususnya mengenai China, berkata video tersebut pada awalnya sekadar cara untuk berehat seketika daripada menghasilkan kandungan yang lebih tersusun dan digilap.
“Saya agak tertekan dengan gaya kandungan sendiri. Ketika berada di Kuala Lumpur untuk bekerja, saya bangun pada suatu hari dan terasa teringin untuk berminum Chagee.
“Jadi, saya terfikir, ‘Mengapa tidak saya hasilkan satu kandungan mengenainya?’” jelasnya.
Video pertamanya mendapat sambutan baik, meraih sekitar 9,990 ribu tanda suka, dengan ramai pengguna media sosial menyifatkannya sebagai lucu dan dekat dengan kehidupan mereka.
Reaksi positif itu mendorong Encik Rifqi menghasilkan lebih banyak kandungan serupa, meskipun pada mulanya beliau tidak pasti sama ada mahu meneruskannya.
Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sekitar 16 video berkaitan Chagee, kebanyakannya secara organik dan bukan menerusi kerjasama berbayar.
Antara gurauan yang sering muncul dalam kandungannya ialah permintaan agar Chagee membuka cawangan di Northpoint City, yang sememangnya terkenal dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman.
Namun, Encik Rifqi, yang gemar memesan ‘BOYA Jasmine Green Tea’ dari Chagee, berkata beliau tidak pernah menyangka permintaannya itu akan menjadi kenyataan.
Beliau berkata Chagee mula menyambut baik kandungannya, termasuk meninggalkan komen pada beberapa video, sebelum beliau mendapat tahu jenama itu benar-benar akan membuka cawangan di Northpoint City.
Difahamkan cawangan di Northpoint City itu dibuka pada lewat September.
Menurut Encik Rifqi, daripada gurauan pertamanya sehingga cawangan tersebut dibuka, proses itu mengambil masa kira-kira lima bulan.
Menjelang pembukaannya, Encik Rifqi berkata beliau sekali lagi bergurau menerusi sebuah video dengan bertanya sama ada Chagee boleh meletakkan standee dirinya di cawangan baharu itu.
Sekali lagi, beliau tidak menyangka permintaannya akan dilayan dengan serius sehingga Chagee menghubunginya dan memaklumkan bahawa idea tersebut telah diluluskan.
“Saya memang terkejut dan tidak percaya. Sebab semuanya bermula sebagai satu gurauan,” katanya.
Beliau turut berkongsi berita itu di Instagram, dengan ramai netizen meluahkan rasa bangga dan gembira melihat gurauannya menjadi kenyataan.
Proses menghasilkan standee itu bagaimanapun berlaku ketika Encik Rifqi berada di China, menyebabkan beliau perlu menyelaras dari sana untuk mendapatkan gambar yang sesuai.
Secara kebetulan, jurugambar yang mengambil gambarnya di China juga mempunyai hubungan dengan Chagee, sekali gus memudahkan proses tersebut.
Menurut Encik Rifqi, standee itu pada awalnya dijadualkan untuk dipamerkan sehingga 29 September.
Namun, selepas beberapa rakan dan pencipta kandungan yang berada di luar negara memintanya melanjutkan tempoh pameran supaya mereka sempat melihatnya, Encik Rifqi mengemukakan permintaan tersebut kepada Chagee.
Permintaannya sekali lagi diluluskan dan standee bersaiz sebenar dirinya itu akan terus dipamerkan di luar cawangan Chagee di Northpoint City sehingga 13 Oktober.
Kini, Encik Rifqi mempunyai beberapa lagi impian berkaitan Chagee, termasuk mengunjungi kilangnya di China, membawa standee itu ke cawangan lain, serta menghasilkan minuman ciptaannya sendiri bersama jenama tersebut.
Buat masa ini, beliau berkata tiada kerjasama baharu yang disahkan antara mereka, namun bagi Encik Rifqi, apa yang telah berlaku sudah cukup luar biasa.
“Ini semua merupakan angan-angan tapi saya rasa ia bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Kita nantikan sahaja,” katanya sambil berseloroh.