Buat kali pertamanya sejak peninggalan ibu mereka, sekumpulan adik-beradik berkumpul untuk menyambut ulang tahun masing-masing tanpa Allahyarhamha di sisi mereka.

Namun, ketika berada di perhimpunan keluarga pada Ogos lalu, kehadiran Allahyarhamha Rafiah Sulong kembali terasa dalam bentuk yang tidak disangka – melalui sekeping gambar bergaya Polaroid yang memaparkannya sedang memeluk anak-anaknya.

Hadiah yang dihasilkan oleh cucu arwah, Cik Nur Nabilah Shifuddin, dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), pada asalnya diberikan sempena sambutan hari lahir dua orang ibu saudaranya, Cik Rosnani Saini dan Cik Rohana Marof.

Imej itu kemudiannya dijadikan sebahagian daripada lampu malam khas yang diberikan bukan sahaja kepada dua ibu saudaranya, malah kepada ibunya, Cik Rosidah Marof dan bapa saudaranya, Encik Diki Zulkarnaini Saini, sebagai kenangan buat arwah ibu mereka.

Cik Nabilah, 26 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa idea itu tercetus ketika mereka sekeluarga sedang memikirkan hadiah untuk dua ibu saudaranya.

Katanya, beliau mahu memberikan sesuatu yang lebih bermakna dan sentimental, terutama kerana sambutan tersebut merupakan antara pertemuan keluarga pertama selepas pemergian arwah neneknya.

Menurut Cik Nabilah, Allahyarhamha Rafiah, yang meninggalkan sembilan anak dan 13 cucu, menghembuskan nafas terakhir pada 30 Julai akibat penyakit jantung aterosklerotik dan penyakit buah pinggang peringkat akhir, selepas bertahun-tahun menjalani rawatan dialisis.

“Pada awalnya, ahli keluarga yang menerima hadiah itu menyangka mereka sedang dikenakan gurauan (prank) apabila saya meminta mereka duduk bersama untuk membuka hadiah.

“Salah seorang ibu saudara saya pula berasa takut untuk membuka kotak hadiah tersebut kerana menyangka ia satu kejutan atau gurauan yang menakutkan,” kata Cik Nabilah, seorang guru prasekolah.

Namun, beliau berkata sebaik sahaja kotak dibuka dan mereka melihat hadiah berkenaan, suasana bertukar sayu lalu air mata masing-masing mula mengalir.

“Ibu saya kata ia adalah hadiah terbaik yang pernah diterimanya, manakala ibu saudara saya mengatakan hadiah itu sangat bermakna dan penuh dengan perhatian,” kata Cik Nabilah, cucu kelapan kepada arwah.

Reaksi ibu Cik Nabilah, Cik Rosidah Marof; dan bapa dan ibu saudaranya, Encik Diki Zulkarnaini Saini, Cik Rosnani Saini, dan Cik Rohana Marof, ketika menerima hadiah tersebut.
Reaksi ibu Cik Nabilah, Cik Rosidah Marof; dan bapa dan ibu saudaranya, Encik Diki Zulkarnaini Saini, Cik Rosnani Saini, dan Cik Rohana Marof, ketika menerima hadiah tersebut. - Foto NUR NABILAH SHIFUDDIN

Beliau menambah bahawa bapa saudaranya, yang merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu, pada mulanya cuba menahan perasaan kerana bukan seorang yang mudah menunjukkan emosi.

Namun, beliau akhirnya turut menitiskan air mata, menyebabkan ahli keluarga lain yang berada di belakang mereka turut sebak.

Bagi Cik Nabilah, hadiah tersebut bukan sekadar cenderamata ulang tahun kelahiran, sebaliknya menjadi satu cara untuk mengingati seorang ibu dan nenek yang selama ini menjadi pengikat keluarga.

“Arwah nenek sememangnya gemar melihat anak-anak dan cucu-cucunya berkumpul bersama.

“Malah, antara pesanan yang sering ditekankannya ialah supaya menjaga solat, sentiasa bersedekah, dan tidak melupakan agama,” kenang Cik Nabilah, sambil menambah bahawa nilai-nilai itu terus menjadi pegangan keluarganya hingga hari ini.

Walaupun Allahyarhamha sudah tiada, Cik Nabilah berkata kenangan dan nilai yang ditinggalkannya terus menjadi pengikat yang merapatkan hubungan antara anak-anak dan cucu-cucunya.

Video yang memaparkan detik anak-anak Allahyarhamha membuka hadiah tersebut telah dimuat naik ke TikTok dan kini meraih lebih 70,500 tontonan.

Di ruangan komen video itu, warganet turut meluahkan rasa sebak dan tersentuh menyaksikan reaksi ahli keluarga ketika membuka hadiah tersebut.

Pengguna bernama ‘dugonghoheng’ misalnya berseloroh bahawa beliau turut menangis ketika menonton video berkenaan.

“Faham nak nangis, kenapa ajak saya sekali nangis? Maskara mahal tau,” tulisnya.

Malah, ada juga yang turut menitipkan doa agar hubungan kekeluargaan mereka terus erat walaupun kehilangan insan yang selama ini menjadi pengikat keluarga.

Pengguna bernama ‘amiralarh’ berkata:

“Semoga silaturahim awak sekeluarga terus kuat walaupun ‘anchor’ (sauh) yang menyatukan awak semua dah pergi ke tempat yang lebih baik.”